Permohonan Hafarizam gugur tuduhan diketahui 15 Julai
KUALA LUMPUR - Permohonan peguam UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun menggugurkan pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta diketahui 15 Julai depan.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Azman Ahmad selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa di sini hari ini pihaknya belum menerima keputusan representasi daripada Peguam Negara.
Beliau berkata, prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar keputusan representasi namun keputusan itu belum diterima dan memohon tarikh lain untuk sebutan bagi keputusan tersebut.
Sementara itu, peguam bela Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam juga mengesahkan perkara itu.
Ashrof Adrin ketika ditemui di luar mahkamah berkata, representasi difailkan peguam bela pada 5 Mei lalu bagi membolehkan pertuduhan diteliti dan dikaji semula.
Pada 21 Februari lalu, Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik Mohd Najib Razak ke dalam 'client account' firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.
Mohd Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam 'Client Account' firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!