Usah pamerkan keintiman suami isteri yang melampau kepada khalayak
MESKIPUN sudah halal sebagai suami isteri, namun ia bukanlah tiket untuk kita menonjolkan keintiman bersama pasangan kepada khalayak ramai sewenang-wenangnya.
Pendakwah, Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, perlakuan intim keterlaluan seperti mencium bibir, peluk yang mengghairahkan dan bergambar dalam keadaan berbaring terutama dalam gambar perkahwinan sebenarnya telah menjatuhkan maruah suami isteri.
"Ia sepatutnya cukup sekadar menjadi rahsia suami isteri. Lebih menakutkan dan menjadi dosa, jika gambar intim yang keterlaluan menyebabkan lelaki serta perempuan yang belum berkahwin terangsang untuk melakukan demikian.
"Walaupun lelaki dan perempuan telah bertunang, tetap haram berbincang hal-hal yang membawa kepada yang haram," katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya kelmarin.
Ciapan itu dibuat sebagai mengulas tentang perbuatan seorang artis yang berkongsi gambar intim bersama pasangannya di media sosial miliknya yang tular baru-baru ini.
Dalam hal itu, ujar Ustaz Bakhtiar Fitri, Islam sememangnya sangat menggalakkan amalan yang boleh menyuburkan perasaan kasih sayang antara pasangan suami isteri.
Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kalian kepada isteriku." (Riwayat Ibnu Majah)
Bagaimanapun, katanya, amalan kasih sayang itu mestilah menurut batasan yang ditetapkan agama.
"Maknanya tak semua hubungan 'intim' perlu dipertontonkan kepada khalayak orang ramai.
"Kerana itu, perintah kasih sayang suami isteri perlu dilaksanakan dengan rasa malu supaya tidak menjadi tontonan umum," katanya.
Kepada pasangan suami isteri, beliau menasihatkan agar jauhkanlah diri daripada mempamerkan hubungan yang halal itu secara keterlaluan.
"Cukuplah berkongsi amalan suami isteri yang baik yang dibenarkan oleh agama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!