Mapim teruskan kempen sokong Dr Zakir hingga 31 Julai

Mohd Azmi Abdul Hamid. - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Azmi Abdul Hamid. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

ALOR SETAR - Kempen atas talian bagi menyokong Dr Zakir Naik agar tidak diekstradisi ke India yang dilancarkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat sambutan, dengan memperoleh lebih 10,000 tandatangan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tandatangan itu dibuat menerusi dalam talian di laman sesawang ini, sejak 12 Jun lalu.

Menurutnya, Mapim turut menerima lebih 5,000 tandatangan secara langsung setelah kempen dilancarkan.

“Kempen dalam talian itu juga dikunjungi 51,000 pelawat laman sesawang, selain menerima 28,000 tanda suka menerusi Facebook,” katanya.

Mohd Azmi berkata, kempen itu akan diteruskan sehingga 31 Julai bagi mencapai sasaran minimum 500,000 tandatangan.

Zakir Naik
Zakir Naik

“Kempen kumpul tandatangan ini dijangka diserahkan secara berperingkat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Peguam Negara Tommy Thomas,” katanya.

Menurutnya, Mapim menghormati pendirian Dr Zakir untuk kembali berdepan perbicaraan mahkamah di India dengan syarat negara itu tidak menahan beliau sehingga mahkamah memutuskan hukuman atau membebaskan beliau.

Artikel Berkaitan:

“Kami sekali lagi menggesa semua pihak yang menghormati cendekiawan dan keilmuannya serta kegigihan beliau berdakwah agar menandatangani petisyen ini,” katanya.

Mohd Azmi turut menegaskan, isu yang dikaitkan dengan Dr Zakir adalah usaha pemerintah India bawah Bharatiya Janata Party (BJP) yang berfahaman anti agama lain selain Hindu, untuk menyekat pengaruh Dr Zakir.

“Ucapan kebencian terhadap agama lain terutama Islam mencetuskan ketegangan antara agama di India.

"Esktradisi yang dituntut India ke atas Dr Zakir bukan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil terhadap dakwaan ke atas beliau yang berubah-ubah, sebaliknya bertujuan menahan beliau dalam penjara selain menyekat dakwahnya meliputi 200 juta penonton seluruh dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!