Kes sampah haram meningkat di Pulau Pinang
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memandang serius ke atas pembuangan sampah secara haram di negeri ini apabila 12 kes dicatatkan pada tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah itu dianggap terlalu besar berikutan ia berlaku dalam tempoh enam bulan bermula Januari lalu.
Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas bersama semua pihak terlibat termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pejabat daerah dan tanah.
"Jika dilihat dari data yang kerajaan negeri perolehi, dari 2014 hingga tahun lalu, jumlah kes hanya lapan. Bagaimanapun, untuk tahun ini sahaja iaitu dari Januari hingga Jun, kes dicatatkan sehingga 12 kes. Ini satu peningkatan yang amat membimbangkan.
"Kerajaan negeri memandang serius dengan isu ini kerana ia akan melibatkan keselamatan penduduk Pulau Pinang. Lihat sahaja apa yang berlaku di Johor. Semua yang berlaku adalah disebabkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas pada 2 Julai ini di Bangunan Persekutuan, Jalan Anson untuk melihat semula penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada, sama ada ia cukup tegas atau sebaliknya," katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor di sini tadi.
Tambahnya, dalam mesyuarat itu nanti, isu kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan serta hukuman yang akan dikenakan kepada pihak bertanggungjawab merupakan agenda utama yang akan dibincangkan.
"Saya melihat, penguatkuasaan sedia ada tidak setimpal dengan apa yang dilakukan pelaku. Selain itu, kita juga akan membincangkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dari aspek pemantauan, pemeriksaan, penangkapan dan pemulihan tanah secara bersepadu.
"Kita juga akan menentukan pengurusan kes dengan lebih berkesan untuk pendakwaan dan sabitan serta hukuman setimpal. Kerajaan negeri juga mengalu-alukan setiap jabatan terlibat membentangkan cadangan tindakan dan tindakan yang telah diambil.
"Pembentangan ini amat penting kerana kita mahu semua terlibat mengambil peranan masing-masing agar kes pembuangan sampah haram ini dapat kita hapuskan," katanya.
Beliau berkata, akta yang digunapakai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dilihat tidak setimpal iaitu hanya mengenakan denda RM2,000 kepada pihak terlibat.
"Pada waktu ini, MBPP menggunakan Undang-undang Kecil (Kebersihan dan Keselamatan Awam) 1980-Klausa 2 iaitu mengenakan denda RM2,000 kepada si pelaku. Pada pandangan kerajaan negeri, ia tidak mencukupi kerana masih ada akta lain yang menyediakan hukuman lebih berat kepada pelaku.
"Antaranya Akta Kerajaan Tempatan 1976-Seksyen 82 yang mengkehendaki kacau ganggu (sampah yang dibuang) dihapuskan. Selain itu, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974-Seksyen 70A yang mengkehendaki kacau ganggu dihapuskan juga boleh digunakan," katanya.
Mac lalu, sisa bahan kimia yang dipercayai dibawa masuk dari China telah dibuang secara haram di sebuah kawasan bekas lombong pasir di Bukit Teh, Bukit Mertajam.
Kegiatan itu didakwa berlaku sejak tiga tahun lalu di atas tapak seluas kira-kira dua hektar milik persendirian di kawasan itu, yang dijadikan tempat pembuangan sampah tanpa pengetahuan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!