60,000 pelajar tahun satu di Johor tahun depan

Aminolhuda (tengah) bersama penerima sumbangan SWM Jom Kasih Jom Sekolah di Dewan Muafakat Pekan Nanas, semalam.
Aminolhuda (tengah) bersama penerima sumbangan SWM Jom Kasih Jom Sekolah di Dewan Muafakat Pekan Nanas, semalam.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Johor menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan memansuhkan peperiksaan bagi murid tahap satu mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, dianggarkan 60,000 kanak-kanak akan memasuki tahun satu di negeri ini pada tahun hadapan dan mereka menjadi perintis kepada sistem pendidikan baharu ini.

“Cadangan pemansuhan ini tepat dalam usaha kerajaan melahirkan generasi kreatif, inovasi dan penyayang sesama rakan sebaya.

“Pemansuhan peperiksaan ini juga boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian isu beg berat yang sering ditimbulkan ibu bapa apabila anak-anak mereka pada usia 7 hingga 9 tahun,” katanya menghadiri program SWM Kasih Jom Sekolah di Dewan Muafakat Taman Seri Sentosa, Pekan Nanas, semalam.

Pada majlis tersebut seramai 30 murid menerima sumbangan daripada SWM selain pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan (SSPN) berjumlah RM50,000 bagi setiap murid.

Hadir sama, Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, Pengarah Eksekutif SWM, Dr Uzir Malik dan Pengurus SWM Wilayah Johor, Mohd Zan Aris.

Tambah Aminolhuda, walaupun murid-murid tersebut tidak dinilai secara bertulis, tetapi banyak kaedah dan cara untuk menilai mereka seperti keupayaan bergaul, berani beri pandangan dan sebagainya.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana ianya telah lama dipraktikkan di negara-negara maju termasuk di Jepun apabila kanak-kanak pada tahap IQ tidak dinilai dengan peperiksaan sepertimana sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!