Lahirkan graduan mampu harungi cabaran
KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) harus memastikan mahasiswa dan seluruh warga kerja akademiknya mempunyai pemikiran yang berkeupayaan untuk menghasilkan idea baharu yang mampu mengharungi cabaran khususnya dalam era globalisasi dan digital.
Baginda bertitah, mahasiswa tidak boleh lagi hanya mementingkan pencapaian dan kehendak diri sendiri tanpa berfikir tentang keadaan semasa negara dan realiti sebenar kehidupan masyarakat.
"Sebaliknya, gunakanlah ilmu kemahiran dan persahabatan yang telah terjalin untuk membina satu gagasan yang berperanan dalam mencorak masyarakat yang bertamadun dan berdaya maju," titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi University of Yamanashi dari Kofu, Jepun di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra kelmarin.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor, Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad dan ketiga-tiga timbalan beliau.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga selaku Tuanku Canselor UniMAP turut bertitah bahawa institusi pengajian tinggi pada masa ini menggalas tanggungjawab yang besar dalam menyediakan mahasiswa yang matang, kompeten, dan berintegriti bagi menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Delegasi dari negara ‘Matahari Terbit’ seramai empat orang tersebut diketuai oleh Presiden, Prof. Dr. Shinji Shimada dan Dekan Fakukti Kejuruteraan, Prof. Nobuhiro Kumada.
Mereka berada di negeri ini selama dua hari bagi meneroka peluang untuk memeterai penyelidikan serta kolaborasi baru secara bersama.
Turut berada di UniMAP kelmarin ialah delegasi Pusat Bahasa dari Thammasat University, Bangkok, Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!