Muhyiddin, Mukhriz, Shafie tidak terima dana 1MDB

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) hadir pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini. Foto: Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) hadir pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan tiga bekas Pengerusi UMNO Negeri yang kini bersama Pakatan Harapan tidak menerima dana 1Malaysia Development Berhad melalui akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang masing-masing sebelum ini mengetuai UMNO Kedah, UMNO Johor dan UMNO Sabah tidak menerima wang 1MDB dalam akaun peribadi mereka.

Kenyataan Guan Eng itu susulan Presiden Gerakan, Dominic Lau yang bertanya Guan Eng sama ada tiga pemimpin PH berkenaan antara penerima dana tersebut

Guan Eng turut mempertikaikan mengapa Lau tidak bersuara ketika dana 1MDB ditemui dalam akaun bank Najib.

“Gerakan gagal mempersoalkan Najib ketika wang itu dimasukkan ke akaun peribadinya dari 1MDB,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan hari ini.

Muhyiddin yang lantang bersuara berkenaan skandal 1MDB ketika bersama UMNO kini merupakan Menteri Dalam Negeri manakala Mukhriz kini Menteri Besar Kedah dan Shafie, Ketua Menteri Sabah.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!