Gesaan dapatkan wang 1MDB daripada pemimpin PH tak masuk akal

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Gesaan supaya mendapatkan semula wang berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MBD) daripada pemimpin Pakatan Harapan yang dahulunya pemimpin UMNO tidak masuk akal kerana wang tersebut tidak memasuki akaun peribadi mereka, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurut Guan Eng, siasatan menjejak semula wang daripada kewangan 1MDB yang sedang giat dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melibatkan akaun peribadi bekas pemimpin UMNO itu yang kini dalam Pakatan Harapan.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan menggesa Guan Eng untuk mendapatkan semula wang yang mengalir keluar dari 1MDB dan ia harus dimulakan dengan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya pun tidak tahu kenapa hendak minta duit kepada Mukhriz Mahathir dan Muhyiddin Yassin. Mereka ada terima wang? Ada masuk akaun peribadi mereka atau tidak?

"Jadi itulah, kadang-kadang bukan cakap saya tidak mahu jawab tetapi (gesaan) ini tidak masuk akal sama sekali kerana tidak masuk akaun peribadi mereka jadi kenapa hendak tujukan ke atas mereka?" katanya kepada pemberita selepas Majlis Konsultasi Belanjawan 2020, di sini hari ini.

Guan Eng turut mempersoal Presiden Gerakan itu yang tidak menggesa aliran wang yang masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipulangkan.

Guan Eng berkata senarai 41 individu dan entiti yang terlibat dalam aliran wang berkaitan 1MDB seperti didedahkan SPRM baru-baru ini adalah senarai awal dan terdapat nama lain yang belum diumumkan termasuk persatuan pengamal media.

"Jadi biar kita tunggu kemungkinan besar banyak nama-nama lagi. Janganlah kerana nama tidak ada dalam senarai awal bermakna boleh terlepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang dikecam berikutan paparan kaligrafi bahasa Cina yang digantung pada dinding di pejabatnya, menyifatkan ia adalah permainan rasis oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana paparan itu disiarkan sempena menyambut Tahun Baru Cina lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin, Mukhriz, Shafie tidak terima dana 1MDB

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!