Tiada penindasan di Hospital Pakar Putra: Adly
MELAKA TENGAH - Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari kesal, ada pihak cuba membangkitkan sentimen perkauman berhubung isu 11 kakitangan pengurusan Hospital Pakar Putra (PSH) di Melaka yang bertindak meletak jawatan.
Malah, beliau juga turut menafikan dakwaan pengurusan tertinggi anak syarikat di bawah kerajaan negeri itu melakukan 'pembersihan etnik' dengan menindas serta mengusir pekerja Melayu seperti didakwa beberapa pihak.
Menurutnya, dakwaan berkenaan bercanggah dengan rekod yang disediakan oleh Jabatan Sumber Manusia PSH iaitu daripada 80 kakitangan lama dan baharu, 53 daripadanya adalah berbangsa Melayu, diikuti 16 Cina, lapan India dan tiga bagi lain-lain bangsa.
"Isu yang diwar-warkan itu tidak berbangkit dan sudah pasti maklumat yang diberikan mereka itu secara total untuk mengalihkan pandangan kepada aspek perkauman, sekali gus membuktikan apa yang digambarkan mengenai pengambilan kakitangan PSH tidak tepat," katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini hari ini.
Isu berkenaan menjadi tular di media sosial, kononnya berlaku penderaan psikologi kepada pekerja di PSH apabila 11 pengurusan utama berbangsa Melayu dikatakan terpaksa meletak jawatan kerana tidak tahan terhadap tekanan serta sikap rasis pengurusan sedia ada.
Sebelas nama pengurusan yang meletak jawatan itu turut disebarkan aplikasi WhatsApp dan Facebook. Namun sehingga kini semua individu berkenaan masih belum tampil untuk mengesahkannya.
Ketua Wanita DAP negeri, Chong May Lee yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PSH, semalam mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, dakwaan terbabit adalah satu fitnah dan pihaknya akan membuat laporan polis mengenainya.
Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan negeri berharap isu berkenaan tidak melemahkan semangat pengurusan PSH untuk meneruskan misi menjadikan hospital swasta terbabit lebih berdaya saing.
"Sejak mengambil alih pengurusan PSH pada Jun tahun lalu, hospital terbabit mencatatkan keuntungan sejumlah RM300,000.
"Ia sekali gus menunjukkan prestasi pengurusan adalah cekap, sejajar dengan amalan `creatif and preventive action' yang dilakukan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!