Remaja lelaki dibelasah hingga rabun
KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali sebelum dibelasah sehingga mengalami kecederaan serius di bahagian mata, dalam kejadian di tapak jualan expo Batu Buruk, di sini, Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira jam antara 5 hingga 6 pagi ketika mangsa, 19, sedang berehat di dalam khemah jualan milik rakannya sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali.
Menurut sumber, tanpa memperkenalkan diri, individu berkenaan terus bertindak memukul dengan tangan dan mengheret mangsa keluar dari khemah tersebut dengan cara menendangnya.
"Ketika di luar khemah, mangsa dapati lebih daripada lima lelaki yang tidak dikenali sedang bersiap sedia menunggunya dan sejurus ternampak mangsa, masing-masing bergilir-gilir membelasahnya.
"Meskipun dirayu agar tidak berbuat begitu kerana sakit, kumpulan lelaki itu langsung tidak menghiraukannya dan bergilir-gilir memukul serta menendang mangsa," katanya ketika dihubungi.
Sumber berkata, akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan lebam dan sakit di seluruh badan selain mengalami kecederaan merah di kedua-dua belah mata.
"Mangsa dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Hiliran, di sini sebelum doktor yang merawatnya mengesahkan dia mengalami rabun di kedua-dua belah matanya akibat pukulan yang kuat pada anggota itu.
"Tidak berpuas hati dengan tindakan keras dilakukan kumpulan itu tanpa diketahui punca sedangkan dalam masa sama sudah memohon maaf, mangsa hanya mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, semalam," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.
Jelasnya, kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!