Armada Terengganu sokong had umur pengundi 18 tahun
KEMAMAN - Armada Bersatu Terengganu menyokong penuh hasrat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan membawa usul had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen akan datang.
Ketuanya, Syaiful Irfan Anang berkata, penting untuk rakyat sedar bahawa Malaysia perlu bergerak pantas dalam era serba canggih dan moden ini supaya tidak ketinggalan berdepan cabaran ekonomi dunia yang semakin bergerak laju ke hadapan.
"Anak muda perlu berfikiran kreatif dan kritis tanpa dimanja lebih lama lagi bermula sekarang selaras dengan kemahuan dunia yang mementingkan golongan profesional dalam kalangan anak muda dan kita harus persiapkan mereka berdepan dengan cabaran hidup yang lebih sukar di masa akan datang.
"Pelbagai teknologi baru 'artificial intelligent' (AI) perlu dipelajari dan pelbagai kemahiran yang memerlukan kepakaran tinggi perlu diperolehi generasi muda dengan segera supaya Malaysia dapat membangun dan maju dengan memiliki tenaga pakar daripada rakyatnya tersendiri," katanya.
Menurutnya, had umur pengundi memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negara kerana generasi yang lebih muda dapat menyumbang dan memainkan peranan yang besar sebagai penentu kepada dasar-dasar sesebuah negara dan pastinya mereka akan bersikap lebih bertanggungjawab dan matang.
Syaiful Irfan berkata, pendekatan ‘critical thinking’ perlu diterapkan kepada minda anak muda supaya mereka lebih fokus kepada perkara yang perlu diutamakan iaitu pembangunan negara adalah menjadi tanggungjawab bersama.
Tambahnya, pesanan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di United Kingdom baru-baru ini kepada seluruh anak muda perlu dihayati.
"Petikan kata-kata Dr Mahathir yang merayu kepada generasi muda agar mempelajari dan memahami segala jenis pengetahuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara maju, memperolehi semua kemahiran, berpegang kepada agama dan nilai nilai murni.
"Beliau juga meminta golongan muda menolak korupsi dengan tegas, terjemahkan kebenaran, kejujuran dan keadilan serta menyeru anak-anak muda untuk bekerjasama dan bersatu bagi mewujudkan masa depan yang cerah untuk Malaysia," katanya.
Kata Syaiful Irfan, dengan pesanan itu ia juga menunjukkan besarnya tanggungjawab dan peranan anak muda di dalam Malaysia Baharu ini sebagai penentu kepada nasib masa depan negara tercinta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!