RoS teliti dokumentasi UMNO jika tak patuhi undang-undang pertubuhan
PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sedang meneliti dokumentasi UMNO negeri dan bahagian yang dinamakan antara 41 responden penerima wang berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.
Ketua Pengarah RoS, Masyati Abang Ibrahim berkata tindakan itu dilaksanakan susulan beberapa memorandum yang diterima RoS di ibu pejabatnya di sini antaranya mendesak UMNO diharamkan kerana menerima wang berkaitan 1MDB.
"RoS akan teliti memorandum berdasarkan peruntukan di bawah bidang kuasa RoS. Pada masa sama, RoS juga sedang dalam penelitian dokumentasi (UMNO). Itu saja buat masa ini, sebab benda ini ada (kes) di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Himpunan Sinergi Pertubuhan Kebangsaan (HiPER) 2019 di sini hari ini.
Pemuda Pakatan Harapan pada Isnin lepas menghantar memorandum kepada RoS bagi menggesa tindakan keras dikenakan ke atas UMNO yang didakwa menerima wang berkaitan 1MDB.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 individu dan entiti bagi memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB. Antara yang dinamakan adalah UMNO, parti-parti politik, yayasan dan syarikat.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan UMNO diharamkan, Masyati berkata: "Pada waktu ini, tidak boleh mengatakan UMNO akan diharamkan. Bagaimanapun RoS akan maklumkan jika ada perkara yang tidak mematuhi akta."
Ditanya jika RoS menetapkan tempoh masa bagi proses penelitian dokumentasi dan memorandum yang diterima, Masyati berkata tidak ada tempoh masa ditetapkan kerana terdapat aspek yang perlu dilihat dari semasa ke semasa.
Pada majlis Jelajah HiPER hari ini, sebanyak 30 kereta dari Persatuan Subaru Selangor dan 20 motosikal dari Persatuan Ducati Kuala Lumpur dilepaskan.
Objektif penganjuran Jelajah HiPER ialah untuk mendekati pertubuhan dan masyarakat, mempromosi RoS kepada masyarakat dan sebagai platform untuk persatuan berdaftar berhimpun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!