Tanah runtuh: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci dijalankan
GEORGETOWN - Kerajaan negeri mahu pihak berwajib termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung tragedi tanah runtuh yang berlaku di pusat peranginan Lost Paradise Resort semalam.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia bagi membolehkan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan nyawa empat pekerja warga Myanmar selepas tertimbus dalam runtuhan yang berlaku.
Menurutnya, laporan lengkap siasatan kes itu penting dalam usaha mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengemukakan langkah untuk meningkatkan aspek keselamatan di kawasan berkenaan.
Chow berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pemilik resort yang mengambil inisiatif sendiri membaiki dan membina tembok penahan tebing tanpa memaklumkan kepada pihak MBPP selain tidak mendapatkan nasihat pihak yang lebih profesional.
"Saya dimaklumkan MBPP tidak pernah menerima dan meluluskan permohonan bagi projek membina tembok penahan di atas tanah milik persendirian di sebuah hotel berkenaan.
"Kerja-kerja pembinaan tembok itu tidak melibatkan kepakaran kejuruteraan, sebaliknya hanya projek yang diusahakan sendiri oleh tuan tanah untuk membaiki keadaan tanah di kawasan tersebut," katanya pada sidang media di sini tadi.
Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar. Yew Tung Seang, Pengarah JKR Negeri, Ir Shahabuddin Mohd Muhayidin dan barisan exco kerajaan negeri.
Kon Yeow berkata, disebabkan tiada kepakaran mungkin cara kerja yang dilakukan telah menyebabkan berlakunya pergerakan tanah walaupun dalam keadaan tidak hujan.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negei juga telah mengarahkan JKR supaya melakukan kajian di sepanjang Jalan Batu Ferringhi, lereng atas dan lereng bawah supaya integriti jalan dan keselamatan lereng terjamin.
Katanya, sekiranya ia didapati tidak selamat, kerja baik pulih dan mitigasi perlu dilaksanakan di sepanjang jalan terbabit bagi mengelakan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Kajian ini penting memandangkan jalan tersebut merupakan laluan utama dan sibuk serta satu-satunya jalan yang menghubungkan Tanjung Bungah ke Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!