Kerajaan peruntuk RM45 juta program 'Community Drumming' di Sabah

Saifuddin Nasution -Foto Bernama
Saifuddin Nasution -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan memperuntukkan RM45 juta pada tahun ini untuk pelaksanaan program Community Drumming bagi memastikan barangan keperluan di kawasan pedalaman negeri ini mencukupi dengan harga diseragamkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program itu yang sudah dilaksanakan sejak April lepas meliputi 66 zon dan 700 Pusat Jualan (POS).

Katanya menerusi program itu, kerajaan menyerap kos pengangkutan tujuh barangan keperluan terdiri daripada beras, minyak masak, tepung, gula, tong gas petroleum cecair (LPG), minyak diesel dan petrol.

"Ini sebagai komitmen berterusan kerajaan melalui kementerian ini bagi memastikan bekalan barangan keperluan di kawasan pedalaman Sabah dinikmati pada harga sama seperti di bandar-bandar besar mengikut harga kawalan subsidi yang ditetapkan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini. Menurutnya kontraktor yang mengendalikan penghantaran barangan keperluan itu sudah dilantik berasaskan tender terbuka.

Menurutnya pencapaian kontraktor yang dilantik ini dipantau oleh kementeriannya bagi memastikan keberkesanan agihan barangan keperluan di semua POS.

"Mereka (kontraktor) merupakan kunci utama kepada pelaksanaan program ini dan Mohd Shafie (Apdal, Ketua Menteri Sabah) mahu pemantauan dilakukan terhadap kontraktor yang dilantik agar dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Kalau pencapaian kontraktor dilantik tidak baik akan menjejaskan penghantaran dan pelaksanaan program ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata sejak April lepas hingga hari ini, pihak kementerian tidak menerima aduan kekurangan, peningkatan harga dan bekalan barangan keperluan terputus di negeri ini.

Mengenai pertemuan dengan Mohd Shafie, beliau berkata perkara yang turut disentuh pada pertemuan itu adalah mengenai keperluan untuk kementeriannya dan kerajaan negeri Sabah melihat kegiatan penyeludupan barangan keperluan bersubsidi ke negara jiran Indonesia.

Katanya tindakan perlu diambil untuk mengurangkan kegiatan itu daripada berleluasa dan beberapa cadangan telah dibincang dengan Mohd Shafie yang akan dibawa ke mesyuarat kabinet negeri serta Majlis Keselamatan Negara. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!