Polisi satu peratus pekerjaan buat OKU dirancang jadi KPI
KUALA LUMPUR - Kerajaan merancang untuk menjadikan polisi satu peratus pekerja di setiap kementerian terdiri daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap kementerian, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Beliau berkata polisi satu peratus pekerjaan buat OKU itu telahpun diperkenalkan sebelum ini, namun penguatkuasaannya lemah, kerana tiada siapa yang akan dikenakan tindakan atau ditegur sekiranya kementerian berkenaan gagal mematuhinya.
"Sekarang kita letakkan polisi ini di bawah KPI Ketua Setiausaha di setiap kementerian. Ini bermakna semua Ketua Setiausaha ini perlu memastikan kementerian masing-masing mengambil petugas dari kalangan OKU,” katanya kepada pemberita selepas melawat sesi Temuduga Terbuka khusus bagi OKU anjuran AEON CO.(M) Bhd di sini hari ini.
Katanya dengan mengambil petugas dari kalangan OKU, ia juga akan meningkatkan kepelbagaian dalam kementerian terbabit, menjadikan ia lebih inklusif di samping membolehkan keperluan kumpulan ini dapat difahami ramai.
Sementara itu merujuk kepada tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dam Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang mengundi untuk menolak triti antarabangsa bagi memupuk persekitaran bebas daripada gangguan dan keganasan, Hannah berkata pihak kementerian sedang mencuba untuk berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung perkara itu.
"Kami pastinya akan mewujudkan persekitaran selamat bagi pekerja. Kami sedang melihat kepada usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada pekerja,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!