Selangor teroka industri aeroangkasa
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kini dalam proses perbincangan dengan pengeluar pesawat terkemuka Eropah, Airbus bagi meneroka peluang mengembangkan industri aeroangkasa dalam sektor perkhidmatan merungkas pesawat dan komponennya di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkembangan itu bakal menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara menawarkan khidmat terbabit sekiranya ia menjadi kenyataan.
Menurutnya, perbincangan dijangka berlangsung untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan bulan atau lebih sebelum sebarang perkara diputuskan.
“Pada masa ini, kami masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai yang perlu berhampiran dengan landasan kapal terbang khususnya di Sepang dan Subang.
“Apa yang saya boleh kata, di Selangor kita hampir lengkap dengan ekosistem dengan adanya penerokaan ini. Jadi saya rasa perkara ini patut dialu-alukan,” katanya pada majlis pecah tanah tambahan kemudahan syarikat Airfoil Services Sdn Bhd hari ini.
Amirudin berkata, dalam usaha mengembangkan penglibatan Selangor selaku hab utama dalam industri aeroangkasa dan penerbangan di negara ini, anak-anak syarikat kerajaan negeri kini turut tidak terkecuali dalam meneroka peluang sama.
“Selama berpuluh tahun industri ini bertapak di Selangor, kita tidak mempunyai suntikan kepada kerajaan negeri secara langsung.
Jadi kerajaan negeri memang melihat ini dengan membuka beberapa anak syarikat yang sedang meneroka penglibatan dalam industri ini supaya pendapatan dan keuntungan dikongsi bersama rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!