Hukum tunai solat, memasuki rumah ibadat lain

A
A
A

ISLAM merupakan agama yang amat menitikberatkan perkara-perkara berkaitan dengan akidah terutama ketauhidan. Dari situ, dapat dilihat bagaimana Islam menegah perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan unsur-unsur yang mensyirikkan ALLAH SWT.

Atas dasar itu, kita dapat lihat para ulama tidak menggalakkan umat Islam memasuki rumah-rumah ibadat milik golongan bukan Islam. Namun, mereka berselisih pendapat tentang hukum umat Islam masuk ke dalam tempat ibadat sebegitu.

Menurut pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie, haram bagi umat Islam masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam seperti gereja dan kuil yang terdapat patung dan gambar berhala di dalamnya. Jika sesuatu rumah ibadat itu tiada unsur berhala, maka hukumnya tidak jatuh haram pada sisi Syafi'iyyah, asalkan mendapat izin masuk daripada pemiliknya.

Menurut kitab Hasyiah Ibn Abidin, Mazhab Hanafi mengharamkan secara mutlak meskipun sesuatu rumah ibadat itu tidak ada di dalamnya unsur-unsur berhala. Sementara, pendapat Mazhab Hanbali yang muktamad pula meletakkan hukum makruh jika rumah ibadat itu tidak mengandungi unsur berhala.

Jika tiada unsur sebegitu, maka hukumnya harus (dibolehkan). Terdapat segelintir ulama yang memilih hukum harus seperti yang dinyatakan oleh Mazhab Zahiri dan Ibnu Qudamah al-Maqdisi.

Adapun, hukum mendirikan solat di dalam rumah ibadat bukan Islam, para ulama bersepakat bahawa sah hukumnya solat di dalam tempat-tempat sebegitu. Namun, perbuatan mengerjakan solat merujuk kepada hukum masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam bagi umat Islam.

Perlu diingat, meskipun menurut Mazhab Syafie, haram masuk ke dalam rumah ibadat yang berunsur berhala, namun solat tetap sah kerana perbuatan masuk itu tidak sama sekali mencacatkan syarat-syarat sah dan rukun-rukun solat.

Dalil atau hujah golongan yang mengharamkan berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Abbas yang menyatakan apabila Nabi Muhammad SAW melihat berhala-berhala di dalam Kaabah, maka baginda enggan masuk ke dalamnya, hingga baginda mendapat perintah dari ALLAH untuk masuk dan menghapuskan seluruh berhala di dalam Kaabah. Menurut Mazhab Hanbali, keengganan baginda masuk bukan menunjukkan perbuatan itu haram tetapi makruh.

Artikel Berkaitan:

Bagi pendapat yang mengharuskan, ia berhujahkan beberapa amalan sahabat nabi yang masuk ke dalam gereja ketika pembukaan dan penaklukan kota Syam antaranya Saidina Ali RA yang masuk ke dalamnya bersama tentera Islam, manakala Saidina Umar yang mengetuai operasi tersebut enggan masuk ke dalam gereja itu.

Kesimpulan daripada perbincangan di atas, hukum umat Islam masuk ke dalam rumah-rumah ibadah bukan Islam ialah masalah yang mendapat perselisihan dalam kalangan para ulama mazhab.

Oleh itu, jalan yang lebih selamat dan lebih warak, seorang Muslim perlu mengelak daripada memasuki rumah ibadat lain jika tiada hajat yang mendesak kerana mengambil kira pandangan ulama yang mengharamkan antaranya Mazhab Syafie.

Jika ada keperluan dan hajat yang mendesak, maka di situ ada keluasan fiqh yang mana boleh bertaqlid kepada pandangan yang tidak mengharamkan.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah dan penulis buku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!