Industri wajar beri peluang kepada graduan baharu
SHAH ALAM - Industri wajar membuka ruang dan peluang kepada graduan baharu selama enam bulan hingga setahun untuk menggilap potensi mereka dalam usaha menyesuaikan diri dengan kehendak skop pekerjaan.
Penasihat Akademik, Universiti Meritus, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali berkata, pemain industri dan juga majikan tidak sepatutnya menyalahkan institusi pengajian tinggi (IPT) gagal menyediakan graduan yang sesuai dengan kehendak industri, sedangkan, langsung tidak membuka ruang untuk graduan baharu menyesuaikan diri dalam industri.
Tegas Anuwar, setiap orang harus diberikan peluang untuk memahami dan menyesuaikan diri dalam industri, bukannya terus menjatuhkan hukum graduan yang dihasilkan IPT kita tidak berkualiti dan memenuhi kehendak industri.
“Berbalik kepada era 80-an, 90-an peluang pekerjaan banyak, jadi tak semestinya graduan universiti itu memang bagus tetapi, mereka dapat menyesuaikan diri.
“Saya selalu bertanya kepada kawan-kawan saya yang bekerja industri berkenaan situasi ini, menurut mereka graduan tak dapat kerja sebab mereka tidak boleh menyesuaikan dirinya dalam industri ataupun dalam dunia pekerjaan.
“Tetapi saya tanya balik kawan-kawan saya (pemain industri), saudara, lepas universiti dulu pandai kerja tak? Dia tak boleh jawab. Sebab dia juga belum pandai lagi, semua orang perlukan enam bulan hingga setahun untuk menyesuaikan diri, baru pandai kerja, baru dia lawan dengan bos dan jika tak diberi ruang dan peluang, sesiapa pun tak boleh buat kerja,” katanya pada Wacana Siri Ke-113 bertajuk Ekonomi Malaysia: Apa sudah jadi? di Dewan Karangkraf.
Beliau mengingatkan, adalah tidak wajar industri mengkritik kononnya graduan yang sepatutnya memiliki IQ tinggi namun, gagal memenuhi kehendak kerja.
“Tidak wajar kritik graduan IQ tinggi, tapi tak boleh buat kerja, mereka cuma perlukan masa untuk menyesuaikan diri, beri peluang dan ruang.
“Orang industri,terutamanya ketua pegawai eksekutif (CEO) selalu kata universiti tidak sediakan graduan yang sesuai untuk kerja, konsep itu sudah tak boleh pakai, sebab dia sebagai CEO dia juga mengambil masa yang panjang untuk pandai dan mempunyai kemahiran yang dikecapi hari ini.
“Saya pun masa mula kerja di pejabat kerajaan (kementerian) dalam dua, tiga bulan pertama saya tak tahu apa pun.Jadi kita kena bagi ruang kepada graduan kita, jangan marah mereka.
“Ini balik-balik bangkitkan masalah, bahasa Inggeris lemah, kemahiran berfikir tak bagus, kalau dia tak boleh berfikir dia tak masuk universiti, orang industri patut faham ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!