Fotografi dunia Sasamoto walaupun usia cecah 105 tahun
JEPUN - Pada usia 105 tahun, Tsuneko Sasamoto masih aktif merakam foto dari pelbagai sudut walaupun telah meninggalkan kerjayanya yang diceburi sejak hampir lapan dekad.
Memulakan kerjaya pada 1940, Sasamoto mendapat jolokan wartawan foto wanita pertama di negara matahari terbit itu.
Pada usia 25 tahun, dia merakam pelbagai peristiwa bersejarah merentasi zaman negara itu sejak lebih 70 tahun termasuk pra dan pasca peperangan di Jepun.
Menurut Japan Times, beliau adalah wanita yang berfikiran terbuka yang lahir ketika Era Meiji (1868-1012) malah memperjuangkan penindasan dan menegakkan kebenaran menerusi cara tersendiri sebagai penulis serta aktivis.
Selain itu, foto-foto yang dirakamnnya menjadi bukti penting dalam peralihan dramatik negara itu dari rejim totalitarian kepada kuasa besar ekonomi dunia.
Pada ulang tahun ke 100, beliau bersemangat untuk meneruskan kerjayanya sebagai jurufoto.
Sempena kelahiran itu, Sasamoto juga mengadakan sebuah pameran yang menampilkan koleksi foto terbaik yang pernah dirakamnya untuk tatapan si pencinta fotografi.
Beliau juga pernah menerbitkan beberapa buah buku iaitu buku bergambar berjudul 'Hyakusai Ten' (Centenarian’s Exhibition) dan 'Hyakusai no Finder' (Centenarian’s Finder) untuk peminatnya.
Sasamoto dikatakan lebih gemar menggunakan kamera mekanikal namun pada masa sama dia mengakui sukar untuk memahami kamera digital pada zaman ini.
Wanita yang lahir pada 1914 di Shinagawa Ward Tokyo, memberitahu, dia sekadar suka-suka kerana minat awalnya adalah menjadi seorang pelukis atau novelis atau wartawan.
Namun pada usia 26 tahun, rakan sekerja meminta dia membantu untuk merakam foto sempena pelancaran organisasi foto dan dari situ dia terjebak dalam dunia fotografi.
Pernah mendirikan rumah tangga, Sasamoto dikatakan mengusahakan satu projek iaitu Hana Akari atau 'Flower Glow' sebagai penghormatan buat sahabat karibnya yang meninggal dunia.
Menyiapkan projek itu juga tidak mudah, Tsuneko berhadapan situasi cemas apabila tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya patah disebabkan faktor usianya.
Namun kesakitan itu menjadi penguat dan pendorong untuk gigih menjalani rawatan fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu bagi meneruskan projek itu.
"Adalah sangat penting untuk kekal positif terhadap kehidupan anda dan jangan pernah berputus asa!
"Anda kena sentiasa bergerak ke hadapan kerana dengan cara itu anda boleh maju. Itu yang saya mahu orang tahu," katanya.
Kini, Sasamoto tinggal sendirian dan hanya meneruskan sisa hidupnya bersama anak-anak dan rakannya.
"Saya menjaga diri sendiri, saya makan daging dengan banyak. Ramai orang beritahu orang tua tidak boleh makan daging dalam kuantiti banyak kerana menjejaskan kesihatan tetapi kata-kata itu tidak benar," luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!