'Perlu berani cuba kalau mahu berjaya'
PETALING JAYA -Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Usia muda bukan penghalang untuk seseorang itu menjadi usahawan berjaya. Baru berusia 28 tahun Ahmad Mus’ab Mat Zin berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil jika minat diiringi dengan usaha pasti sesuatu yang dicitakan akan menjadi nyata.
Siapa sangka anak kelahiran Kampung Sungai Penchala itu mempunyai sebuah kedai aksesori motor yang terletak di Kota Damansara Asab Racing (Asab Motorsport) kini menjadi satu jenama sinonim dikalangan mereka yang ingin melakukan modifikasi dari segi aksesori motosikal agar tampak garang dan luar biasa.
Bagi Ahmad Mus’ab pasaran aksesori motosikal yang diterajuinya sejak 10 tahun yang lalu berbaloi kerana pasaran barangan aksesori terutama jenis Yamaha Y15 kini mula mendapat perhatian.
“Saya mula dulu jadi runner sahaja, jual aksesori motosikal dan penapis minyak secara online.
Jika ada permintaan saya ambil dari pengedar atau kilang dan kemudian hantar kepada customer. Untung memanglah tak berapa banyak, tapi bolehlah untuk saya belajar bertatih dalam dunia perniagaan ini,” katanya.
Pelajar Diploma Kejuteraan Mekanikal, Politeknik Ungku Umar itu berkata, selain aksesori motosikal dia juga mengambil upah membaiki komputer dan juga telefon bimbit.
“Dulu saya buat semua benda, Alhamdullilah rezeki saya sekarang, bila ada kedai sendiri ini bukti bahawa kita benar-benar serius dalam perniagaan. Jadi orang atau pelanggan tengokpun yakin untuk berurusan dengan kita," katanya.
Biar untung sedikit
Anak ketiga dari empat beradik itu turut mengakui dalam perniagaan ada pasang dan surutnya. “Jatuh bangun dalam perniagaaan perkara biasa,pernah juga hilang modal, tapi itu biasa jangan putus asa.. bina balik sikit-sikit.Kalau cepat naik sangat, nanti cepat jatuh setiap hari kena belajar,” katanya.
Menurutnya dalam perniagaan sekarang kena lihat apa yang trending jual apa yang pelanggan cari dan minati.
“Barang yang hendak dijualpun kena teliti, contoh saya jual aksesori, cover set yang terkini untuk Yamaha Y15 dari Vietnam dan Indonesia. Saya jual bawah harga pasaran dan sesetengah aksesori siap pasang seperti kepala Y15 (V2) ada jaminan kedai,” katanya.
Menurutnya setiap bulan dia akan ke luar negara untuk memilih sendiri aksesori motosikal yang hendak dijual.
“Apa yang kita hendak jualpun kena tengok sendiri, tak boleh pakai order nanti tak kena selera, pelanggan tak minat,” katanya.
Harapan
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (SMKTTDI) ini sebenarnya mahu membuktikan bahawa usahawan sepertinya boleh berjaya dalam bidang yang lazimnya dipelopori oleh bangsa lain.
“Dunia permotoran dua roda ini memang sukar untuk sesiapa bertapak kukuh melainkan dia mempunyai modal dan kekuatan kewangan yang kuat. Saya nak buktikan orang Melayu boleh berjaya dalam bidang modifikasi dan aksesori motosikal ini.
Menurut Ahmad Mus’ab, dia bercadang mahu melebarkan perniagaan dalam perkhidmatan dyno motosikal. “Kalau bukan kita siapa lagi hendak sokong perniagaan anak bangsa sendiri, saya harap biarlah dunia dua roda di Malaysia ini nanti berkembang dan dapat membantu usahawan permotoran lain membina nama dan empayar," katanya.
Maklumat lanjut
Instagram: asabmotorsport
Facebook: Asab Racing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!