Nasib 12 beranak tinggal berhimpit
TUMPAT - Kesempitan hidup memaksa 12 beranak tinggal sebumbung dalam satu rumah sempit di Kampung Hutan Jambu di sini.
Mereka terdiri daripada datuk, anak dan cucu bersama pasangan serta lima cucu berusia 15 hingga 24 tahun dan seorang cicit berusia setahun dua bulan.
Hanya mempunyai dua bilik tidur menyebabkan penghuninya tidur berhimpit di ruang tamu dan dapur dengan bumbungnya bocor.
Hassan Awang Chik, 77, berkata, anak dan cucu yang berumahtangga masih tinggal sebumbung dengannya kerana kesempitan hidup.
"Bukan mereka tak boleh hidup berdikari tetapi diuji dengan sakit.
" Di dalam rumah ini ramai yang sakit sehingga tidak dapat bekerja dan hilang punca pendapatan," katanya.
Hassan berkata, menantunya, Abdul Rahman Senik, 61, sudah tidak mampu bekerja sebagai tukang rumah apabila patah paha serta mengidap penyakit tibi.
"Anak saya, Faizah, 54, merupakan isteri Abdul Rahman pula mengidap penyakit kencing manis, juga tidak bekerja," katanya.
Menurutnya, dia sendiri bersama isteri, Mek Som Deraman, 78, dengan kudrat tua ini sudah tidak mampu bekerja lagi apabila mengidap sakit jantung dan darah tinggi.
Katanya, perbelanjaan keluarga dengan penghuninya seramai 12 orang hanya mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya dapat RM300 sebulan, manakala menantu dapat RM300 sebulan.
" Wang ini lah untuk makan, anak sekolah, bayar bil air, elektrik dan disebabkan kewangan tidak cukup, bil air dan elektrik kami tertunggak," katanya.
Menurutnya, ada seorang cucu lelaki, Faiz Fahizi Abdul Rahman, 24, bekerja buruh namun sering pitam dan mudah letih kerana mengidap penyakit leukemia.
"Ketika usia kanak-kanak doktor sahkan Faiz Fahizi mengidap leukemia, tiada rawatan susulan kerana kami tidak membawanya ke hospital.
"Seorang lagi cucu saya, Mohd Syahidah, 15, masalah pembelajaran sudah tidak bersekolah," katanya.
Menurutnya, paling dirisaukannya adalah masa depan cucunya Nur Syahirah, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut tetapi sukar untuk ke sekolah kerana tiada motosikal.
"Motosikal menantu saya rosak dan setahun berada dibengkel kerana kami tak mampu nak bayar upah baiki sebanyak RM350.
" Setiap kali nak hantar cucu ke sekolah terpaksa pinjam motosikal saudara," katanya.
Menurutnya, keluarganya pernah dikunjungi wakil pemimpin politik, agensi berkaitan apabila mengambil gambar rumah yang uzur tetapi belum ada rezekinya lagi untuk mendapat bantuan rumah.
Sesiapa prihatin boleh salurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Abdul Rahman 03100 29 000808069. cap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!