'Sujud، berdoa agar bumi tidak terbelah'
KULAWI، SULAWESI TENGAH - "Saat gempa mengoncang bumi dan tanah beralun bagai ombak، saya sujud، berdoa agar bumi tidak terbelah.
Demikian ungkapan Nurhidayah Pattsunda، 65، warga emas yang kediaman dan kampungnya terjejas dalam bencana dahsyat yang melanda penduduk di pergunungan di Kecamatan Kulawi، Kabupaten Sigi Biromaru.
Jumaat، 28 September 2018 ketika ALLAH menduga، ibu tua itu sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib kemudian dirasakan seperti ingin rebah dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus disusuli goncangan bumi maha dahsyat yang dianggapnya kiamat sudah tiba.
"Saya berlari ke pintu depan، namun pintunya roboh saya berpatah balik، di ruang tamu، televisyen jatuh berderai. Saya lompat ke pintu belakang dan ketika itu lantai pecah dan kaki saya luka terbelah.
"Saya jerit ALLAHUAKHBAR، seraya itu saya bersujud di jalan، berdoa supaya tanah yang saya injak ini tidak terbelah، anak saya juga ikut sujud. Syukur rumah kami tidak roboh cuma retak-retak sahaja، " katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tetapi menceritakan keadaan cucunya، Arman Maulana، 10، orang kelainanan upaya (OKU) yang terkencing saat bumi bergoncang kerana ketakutan.
"Cucu saya ini tidak banyak bicara، selepas berjaya keluar daripada rumahnya di tingkat atas kami berlari ke tanah lapang، dia kelihatan takut sekali hingga terkencing dalam celana.
"Meskipun anak-anak dan cucu saya selamat tapi ada beberapa ahli keluarga di Petobo dan bertugas di Pantai Talise untuk festival Palu Nomoni، hilang terus hingga kini، " ujarnya.
Justeru، Global Peace Mission (GPM) Malaysia meneruskan usaha murni membantu mangsa-mangsa gempa، tsunami dan likuifaksi untuk bergembira sekali gus melupakan goncangan bumi yang meragut ribuan korban warga lain di Sulawesi Tengah hujung September lalu.
Rata-rata warga yang terdiri daripada pekebun ini mengakui insaf dan sedar akan peringatan yang diturunkan ALLAH buat mereka.
Relawan GPM yang menerapkan modul 'psychosocial first aid' (PFA) meminta kaum ibu di Kulawi ini menulis harapan dan kesan positif selepas gempa.
Ternyata ujian ALLAH ini membenihkan impak murni dalam jiwa-jiwa mangsa bencana terburuk tersebut antara coretan mereka ialah kini solat lebih sempurna dan hubungan mereka lebih erat kerana sering meluangkan waktu bersama terutamanya yang masih menghuni tenda.
Meskipun malapetaka itu terjadi hampir dua bulan lalu namun، masih ada warga di pergunungan di Kulawi ini tidak berani pulang tidur di rumah kerana trauma takut-takut ada gempa dan belahan tanah lagi.
Sementara itu، seorang peruncit، Munirah Mat Dom، 38، ketika diminta menceritakan situasi panik yang berlaku 28 September lalu terus menangis teresak-esak kerana sangat takut untuk mengenang tragedi itu.
Malah dia tidak pernah satu malam pun kembali tidur di rumah bahkan memilih untuk tetap tinggal di tenda bersama penduduk yang lain.
"Malam itu tiba-tiba datang gegaran yang kuat، dinding rumah merekah dan saya tidak mampu berdiri. Nak keluar rumah pun tak boleh، bumi bergoncang.
"Sudah hampir 50 hari saya masih tidur di hunian sementara، 6.30 pagi saya balik rumah untuk berniaga dan pada 6.30petang saya pergi ke tenda lagi.
"Dahsyat sekali impak gempa itu kepada saya، rasa ketakutan itu tidak dapat dipadam، saya juga tidak tahu untuk ada kekuatan pulang bermalam di rumah، " katanya dalam nada sayu.
Bagi mengembalikan senyuman warga Kulawi ini، GMP menghulur "sembako" iaitu barang keperluan asas untuk kegunaan harian mereka
Sebanyak 43 kotak sembako diedar kepada warga dan "goodies" buat anak-anak kecil di Kulawi.
Dalam sesi rawatan trauma itu، kanak-kanak dan ibu-ibu di situ mengukir senyuman gembira kerana selain menerima sumbangan dari Malaysia، mereka dapat melakukan aktiviti bersama rakan-rakan sekampung yang lain.
Ekoran bencana buruk itu، jalan lereng gunung ke Kulawi itu mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh bahkan laluan tar kini bertukar menjadi laluan tanah merah yang berbahaya kepada warga di situ.
Bahkan، kerajaan Indonesia juga telah menetapkan jadual keluar masuk kenderaan kawasan tanah tinggi itu agar keselamatan pengguna laluan itu dapat dikawal dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!