Datang dari jauh nak merompak!
SUNGAI BULOH - Sanggup datang dari Pulau Pinang semata-mata hendak melakukan jenayah samun di sekitar Lembah Klang.
Namun, kegiatan haram itu akhirnya mengundang padah selepas kumpulan 'Black Ruger' yang aktif menyamun kedai runcit, stesen minyak, pasar raya serta tepi jalan berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Pulau Pinang, sejak Mei lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berjaya menahan suspek pertama pada 28 Mei dengan rampasan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150, Perodua Myvi dan telefon bimbit di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh.
Menurutnya, susulan itu, pada 17 Jun lalu, seorang lagi suspek berjaya ditahan di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh.
"Soal siasat suspek kedua ini membawa tangkapan ketua kumpulan terbabit di Bandar Baru Sungai Buloh, dua hari berikutnya.
"Kemudian, suspek seterusnya berjaya ditahan dalam serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan rampasan sepucuk pistol jenis Ruger SR9c buatan Amerika Syarikat dengan satu kelopak dan 16 butir peluru hidup pada 23 Jun lalu. Kemudian, tangkapan terakhir iaitu seorang lelaki pada 27 Jun dibuat di Kampung Seri Indah, Sungai Buloh," katanya dalam sidang akhbar di IPD Sungai Buloh, hari ini.
Shafa'aton berkata, siasatan awal mendapati dalang kumpulan 'Black Ruger' ini memiliki 11 rekod lampau membabitkan 10 kes jenayah dan satu dadah selain satu rekod dikehendaki di Sungai Buloh.
Tambahnya, manakala, salah seorang suspek yang ditahan di Pulau Pinang memiliki enam rekod lampau.
"Suspek ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dan akan menyertai kumpulannya di Sungai Buloh itu jika ada panggilan untuk melakukan jenayah tersebut," katanya.
Katanya lagi, pihaknya percaya dengan tumpasnya kumpulan yang telah aktif sejak awal tahun lalu itu, sebanyak 10 kes berjaya diselesaikan di daerah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Gombak.
"Kesemua suspek masih direman, namun usaha memburu dua lagi suspek giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!