Malek Razak dilantik Panglima 2 Briged baharu

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ketua Pengarah Cawangan Perancangan dan Pembangunan, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima 2 Briged yang baharu menggantikan Brigadier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar.

Majlis upacara perbarisan serah terima tugas berlangsung di padang kawad Markas 2 Briged hari ini disaksikan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Majlis menandatangani dokumen serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa itu berlangsung dengan penuh istiadat perbarisan hormat oleh 18 pegawai dan 210 anggota lain-lain pangkat.

Mohd Nizam yang menjawat jawatan Panglima 2 Briged sejak 2017 akan memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Pengurusan Latihan Tentera Darat di Markas Latihan Kem Segenting, Port Dickson.

Ketika ditemui, beliau menyifatkan, penjawatan dua tahun empat bulan sebagai Panglima 2 Briged antara pengalaman terbaik dan memberi kesan mendalam sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dalam ketenteraan.

Mohd Nizam dan isteri menaiki kenderaan pada istiadat perarakan keluar hari ini.
Mohd Nizam dan isteri menaiki kenderaan pada istiadat perarakan keluar hari ini.

Sepanjang tempoh itu katanya, pasukannya banyak terlibat dalam acara-acara besar anjuran kerajaan negeri antaranya Sukan Malaysia (Sukma) yang menyaksikan Perak sebagai tuan rumah dan sambutan Hari Tentera Darat ke 86 di Sungai Siput yang menarik kehadiran 17,000 pengunjung, Februari lepas.

"Alhamdulillah, dalam tempoh dua tahun ini kita berjaya membentuk hubungan baik dengan masyarakat khususnya media kerana tanpa media, masyarakat tidak akan mengenali kami.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana dahulu pasukan tentera sering dilihat sebagai badan berasingan yang sukar didekati, tetapi dengan hubungan baik yang terjalin, saya kira saya sudah berjaya membuang pandangan itu," katanya. Beliau berharap, kepimpinan baharu dapat membawa 2 Briged ke kejayaan sama dan membantu kerajaan Perak dalam apa juga tugas diamanahkan.

Dalam majlis sama, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) 2 Briged turut menyaksikan serah terima tugas pengerusi baharu iaitu Siti Juana Md Ibrahim menggantikan Datin Risia Sheik Ali Omar Bajarai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!