Imam cedera terkena tembakan rambang
PARIS - Seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di luar sebuah masjid di barat laut Perancis semalam, menyebabkan dua tercedera termasuk seorang imam.
Penembak itu kemudian melarikan diri dan ditemui mati tidak lama kemudian, kata pihak berkuasa.
Setakat ini tidak jelas apa motif insiden yang berlaku di bandar pelabuhan Brest di Brittany itu, tetapi Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner berkata, pihaknya mengarahkan langkah keselamatan dipertingkatkan di semua kawasan rumah ibadat di seluruh Perancis.
Imam Rachid El Jay terkena empat peluru sementara seorang lagi jemaah yang bersamanya ketika kejadian, terkena dua peluru, tetapi mereka tidak mengalami kecederaan parah, kata Majlis Islam Perancis (CFCM) dan sumber kehakiman.
Timbalan Datuk Bandar Brest, Trabelsi Hosny berkata, ketika kejadian imam itu keluar dari masjid bersama rakannya apabila seorang lelaki memperkenalkan dirinya dan mahu bergambar dengan imam itu, dan imam berkenaan bersetuju.
Lelaki itu kemudian menembak imam berkenaan dan rakannya, kata Hosny.
Insiden berlaku kira-kira jam 4 petang waktu tempatan.
Sumber polis berkata suspek ditemui mati di kawasan berhampiran lapangan terbang, kira-kira 10 kilometer dari masjid, dengan kesan tembakan di kepalanya, kemungkinan besar bunuh diri. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!