Inkues Adib: JBPM perlu lantik peguam bebas
SHAH ALAM - Peguam Negara digesa tidak terlibat dengan lantikan peguam yang akan mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pengerusi Persatuan Pesara-Pesara Pegawai Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Zainal Wagimin berkata, peguam yang dilantik haruslah bebas dan berkecuali tanpa melibatkan pihak-pihak berkepentingan.
Menurutnya, pihaknya terpanggil untuk bersuara selepas melihat perkembangan penyiasatan inkues yang dianggap 'tidak adil'
"Kami menghormati sistem keadilan di negara ini tetapi apabila Peguam Negara tiba-tiba mencampuri inkues tersebut dengan menamatkan perkhidmatan Syazlin Mansor kami kecewa, sedih dan terkilan.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat peguam wakili KPKT, bomba
"Kemudian dimaklumkan pula bahawa timbalan pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara akan mengambil alih mewakili JBPM, apakah tujuan semua ini?," soalnya pada sidang akhbar yang diadakan di Jalan Kristal hari ini.
Zainal berkata, JBPM tidak seharusnya diwakili Jabatan Peguam Negara sebaliknya jabatan itu harus berdiri teguh bagi membela kematian anggotanya.
"Muhammad Adib meninggal dunia ketika menjalankan tugas maka kematiannya harus dibela oleh JBPM, pesalah yang melakukannya perlu didakwa dan menerima hukuman setimpal.
"Kami tak minta banyak cuma berilah keadilan ke atas kematian Muhammad Adib, jangan biarkan kematiannya sia-sia tanpa sebarang pembelaan," katanya.
Beliau turut menggesa supaya JBPM bersolidariti akan kematian Muhammad Adib dengan melantik peguam bebas yang lebih telus dalam memperjuangkan isu tersebut, bukannya dari Peguam Negara.
Muhammad Adib bertugas pada malam 26 November lalu bagi operasi memadamkan kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya yang ketika itu sedang berlaku rusuhan.
Beliau cedera pada hari kejadian dan menerima rawatan selama tiga minggu di Institut Jantung Negera sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Disember.
Dua hari lalu, Mahkamah Koroner memaklumkan mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JPBM dalam pendengaran inkues kematian, Muhammad Adib
Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin.
Sementara peguam terdahulu, Syazlin Mansor kini mewakili keluarga Muhammad Adib, selepas beliau menarik diri daripada mewakili KPKT dan JBPM pada 27 Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!