Dedah peluang kepada usahawan IKS
PENDANG - Seramai 100 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekitar Mukim Guar Kepayang dan Mukim Bukit Rayap diberi pendedahan berkaitan peluang meningkatkan pendapatan mereka menerusi program Bicara Keusahawanan.
Pengarah projek, Muhammad Aizat Md Sin berkata, program anjuran Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Alumni UUM itu dijayakan dengan kerjasama Inasis Tradewinds UUM.
Program dijalankan di Masjid Darul Muhammadi, Kampung Kerkau, baru-baru ini.
Menurut Muhammad Aizat, program ini bertujuan membuka minda golongan usahawan IKS agar lebih terbuka.
"Mereka perlu didedahkan dengan peluang yang tersedia agar mereka boleh memanfaatkannya.
"Kita mahu mereka terus maju dan tidak berada di takuk yang lama dalam menguruskan perniagaan," katanya.
Tambah Muhammad Aizat, program ini juga memberi peluang kepada Alumni UUM untuk terus berbakti kepada masyarakat meskipun telah tamat pengajian.
Turut diadakan aktiviti gotong-royong, gunting rambut dan servis tukar minyak enjin percuma, pameran berkaitan dadah dan banyak lagi.
Hadir sama merasmikan majlis Pegawai Daerah Pendang, Khairol Anuar Syed Abidin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!