KUALA LUMPUR - Keasyikan gadis pelayan pelanggan (GRO) melayan pelanggan minum dan berkaraoke di sebuah pusat hiburan Jalan Puchong, di sini, malam tadi, dikejutkan dengan serbuan polis. Suasana mula bertukar kecoh apabila terdapat segelintir GRO ini cuba melarikan diri dengan cuba merempuh polis. Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, operasi Ops Noda kira-kira jam 9.30 malam berjaya menahan enam wanita warga Vietnam disyaki GRO berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun. "Polis turut menahan penjaga premis seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun serta rampasan resit jualan serta wang tunai. "Selain itu, seramai 31 pelanggan tempatan termasuk enam wanita turut diperiksa untuk proses dokumentasi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Rohazah berkata, siasatan mendapati premis ini telah beroperasi lebih dari dua tahun dan pernah diserbu sebanyak empat kali pada tahun lalu kerana disyaki menggajikan pekerja asing. Katanya, polis percaya GRO ini memperoleh tip sebanyak RM70 daripada setiap pelanggan yang dilayan untuk berhibur dan GRO ini boleh mendapat tiga hingga empat pelanggan satu malam. "Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.