Bekalan air di tiga wilayah pulih 99 peratus
SHAH ALAM - Gangguan bekalan air tidak berjadual di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih sejak Rabu lalu kini sudah mencapai tahap 99 peratus pemulihan.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata, hanya tujuh kawasan di tiga wilayah yang masih belum pulih sepenuhnya hingga jam 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan, bekalan air di wilayah Hulu Langat telah pulih sepenuhnya.
“Tujuh kawasan yang masih belum pulih termasuk Presint 14, Presint 15, Presint 16, Putrajaya; Kampung Sungai Kelambu, Telok Mengkuang dan Taman Datok Hormat di wilayah Kuala Langat dan Hospital Serdang di bawah wilayah Petaling.
ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bau di Sungai Semenyih, gangguan air 9 malam ini
“Bekalan air di dua kawasan terjejas iaitu Sepang dan Kuala Langat dijangka akan pulih sepenuhnya 9 malam ini manakala di Hospital Serdang dijangka pulih jam 6 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, segala usaha diambil termasuk meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan kawasan terjejas.
"Bantuan lori tangki air masih terus digerakkan dan pusat khidmat setempat masih beroperasi bagi menyalurkan bantuan hingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, pengguna diminta merujuk ke laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Pengguna juga boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor telefon019-2816793/019-2800919l untuk sebarang aduan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pencemaran bau dikesan berlaku di Sungai Semenyih yang mengakibatkan bekalan air bersih di beberapa kawasan sekitar terjejas sejak Rabu lalu.
Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran yang dikesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!