'Akhirnya jenazah mama pulang'
KUALA BESUT - Jenazah penduduk Kampung Lay Out Tok Saboh, di sini, Siti Fatimah Mohamad Nor, 65, yang meninggal dunia di Melbourne, Australia, 18 hari lalu selamat tiba di tanah air pagi tadi.
Anak kedua arwah, Zalimi Abd Ghani, 39, berkata, jenazah ibunya yang meninggal di rumah abangnya pada 11 Jun lalu tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dari Sydney, Australia jam 5 pagi.
Menurutnya, jenazah kemudian diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa,Kelantan jam 8.30 pagi tadi sebelum tiba sejam kemudian.
Menurutnya, jenazah terus di bawa ke Masjid Kuala Besut dengan menaiki sebuah van jenazah untuk disembahyangkan kira-kira jam 11 pagi.
“Selesai solat jenazah terus dibawa ke tanah perkuburan Islam Pekan Baru Kuala Besut untuk dikebumikan berdekatan kubur arwah bapa, Abd Ghani Latif dan kakak saya, Zalifah,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu.
Zalimi berkata, jenazah ibunya selamat dikebumikan kira-kira jam 12 tengahari yang turut disaksikan adik beradik dan saudara mara turut berada di situ.
“Kami amat gembira kerana jenazah mama akhirnya sampai dan dapat dikebumikan di tempat sendiri selepas menempuhi sedikit kesulitan dalam urusan membawa pulang jenazahnya.
“Saya bagi pihak adik beradik juga ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak iaitu kerajaan negeri Terengganu, penyumbang dan seluruh rakyat Malaysia serta Amal Team yang membantu sehinggalah membolehkan jenazah ibu di bawa pulang untuk dikebumikan di sini,” katanya.
Sebelum ini jenazah Siti Fatimah dijangka tiba di Malaysia pada 19 Jun lepas tetapi disebabkan masalah teknikal menyebabkan urusan tersebut ditunda.
Kisah wanita itu yang pergi ke Australia pada Oktober tahun lepas untuk menziarahi anak-anaknya yang bekerja di sana tular di media sosial apabila ahli keluarga arwah memohon sumbangan RM30,000 bagi urusan membawa pulang jenazah ke tanah air.
Keluarga terbabit tidak mampu mendapatkan wang tersebut sebagaimana yang diperlukan oleh pihak yang menguruskan kepulangan jenazah di Australia.
Bagaimanapun dana mereka mencukupi hasil sumbangan orang ramai dan kerajaan negeri sehari selepas tular rayuan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!