Annas impi lawat zoo, taman rama-rama
PARIT BUNTAR - "Opah, Annas nak pi tengok binatang, taman rama-rama."
Demikian luahan seorang kanak-kanak menghidap penyakit kanser leukimia kronik, Annas Mikhail Abdullah, 3, kepada neneknya, Faridah Wan Chik, 48, di rumahnya di Kampung Tanah Kebun, di sini hari ini.
Dikesan menghidap penyakit kanser itu sejak berusia 8 bulan, Annas Mikhail yang dahulu ceria dan aktif bermain, kini masa hadapannya menjadi semakin suram susulan doktor mengesahkan kondisi kesihatan kanak-kanak itu semakin kritikal.
Lebih malang, Annas Mikhail yang dikesan mempunyai sel kanser terbaharu minggu lalu, dinasihati pakar Hospital Pulau Pinang(HPP) tidak meneruskan rawatan kimoterapi sebelum ini kerana kebimbangan memberi kesan negatif kepada organ dalaman.
Faridah berkata, Annas Mikhail sudah menerima rawatan kimoterapi di HPP sejak penyakitnya dikesan sebelum terpaksa diberhentikan sementara pada umur lebih setahun.
Menurutnya, rawatan kimoterapi terpaksa ditanggungkan ketika itu kerana memberi kesan kepada hati dan limpa Annas Mikhail lalu menjadi bengkak.
"Susulan itu, Annas hanya menjalani pemeriksaan di HPP sebanyak empat kali sebulan namun baru-baru ini cucu tunggal saya itu mengalami masalah kesihatan berulang.
"Bila pemeriksaan dibuat, Annas dikesan mempunyai sel kanser terbaharu dan kali ini hospital menasihatkan kami sekeluarga agar tidak meneruskan rawatan kimoterapi.
"Paling menyedihkan, doktor juga tidak meletakkan sebarang harapan kepada cucu saya untuk sembuh dan hidup lama," katanya kepada Sinar Harian sewaktu menerima lawatan ziarah Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara di sini hari ini.
Faridah berkata, selaku ibu tunggal yang terpaksa menyara dua lagi anak bersekolah selain Annas Mikhail, pihaknya mengalami kesukaran memenuhi keperluan susu, lampin dan kos perjalanan berulang-alik cucunya ke HPP untuk rawatan bulanan.
Menurutnya, meskipun menerima bantuan Baitulmal berjumlah RM300 sebulan, ianya tidak mencukupi bagi menampung keperluan bulanan Annas Mikhail mencecah RM500 sebulan.
"Ditambah keadaan ibu bapa Annas Mikhail yang mengalami masalah, tanggungjawab menjaganya terletak kepada saya sepenuhnya.
"Kami sekeluarga berharap dapat memenuhi impian akhir Annas Mikhail untuk melawat taman rama-rama dan Zoo Taiping dalam masa terdekat bagi mengembalikan sedikit keceriaan dalam kehidupannya," katanya.
Sementara itu, nasib menimpa Annas Mikhail turut mendapat simpati daripada sebuah badan bukan Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara yang berkunjung ke kediaman keluarga itu dan menghulurkan sumbangan.
Sumbangan berbentuk barangan keperluan makanan dan wang tunai disampaikan pengasas persatuan, Maznah Tayib yang turut berharap lebih ramai pihak menghulurkan bantuan kepada keluarga itu.
"Selain sumbangan wang tunai serta barangan keperluan lampin dan susu, saya merayu kerjasama mana-mana agensi kerajaan atau badan korporat yang boleh memenuhi impian Annas Mikhail sejak kecil iaitu melawat zoo dan taman rama-rama dalam masa terdekat,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan terus sumbangan menerusi akaun CIMB (FARIDAH WAN CHIK 7022210658) atau menghubunginya di talian 012-4870127.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!