Pesta durian jangka tarik 50,000 pengunjung
GEORGETOWN - Penang Durian Fest, pesta durian tahunan Pulau Pinang yang akan diadakan dari 5 hingga 7 Julai ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya dijangka menarik kira-kira 50,000 orang pengunjung, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin hari ini.
Beliau berkata, pengunjung bukan sahaja dari seluruh negeri malah dari kalangan penggemar raja buah itu di negeri-negeri jiran di utara Semenanjung dan acara ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan buah tempatan sebagai menambah pulangan ekonomi negeri.
“Sejak tahun lepas, Penang Durian Fest telah berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai hab penting buah durian yang harganya bukan sahaja berpatutan tetapi juga berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media untuk mempromosikan pesta itu.
Beliau berkata pelbagai jenis durian disediakan untuk Penang Durian Fest tahun ini antaranya Musang King, Hati Merah, Kapri, Labu, Udang Merah dan Duri Hitam yang ditawarkan pada harga antara lima dan 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Beberapa pertandingan seperti durian klon terbaik, juara durian wilayah utara, durian kampung terbaik, pengat dan jus durian akan diadakan sepanjang pesta itu.
Mereka yang berminat untuk memasuki pertandingan ini boleh menghubungi Jabatan Pertanian Pulau Pinang di talian 04-5372144. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!