Polis buru dua lelaki bunuh warga emas
KEPALA BATAS - Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian seorang wanita warga emas disamun sebelum dibunuh di rumahnya di Taman Seri Merbau, Sungai Dua dekat sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu mendapati dua lelaki dipercayai warga tempatan terlibat dalam kejadian tersebut semalam.
"Kediaman mangsa tidak dilengkapi CCTV namun kami telah mendapatkan rakaman dari beberapa rumah yang terletak di kawasan berdekatan rumah mangsa dan sedang meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti kedua-dua suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat warga emas ditemukan tangan, kaki terikat
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa, Loo Nyak Sing,71, ditemukan dalam sebuah bilik dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tingkat atas rumah dua tingkat itu oleh anaknya yang datang melawat mangsa kira-kira pukul 4.25 petang.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar pada bahagian belakang badan serta paha mangsa dan pihak polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!