'Tak terlintas mahu jadi YB'
Adun Pasir Raja, Rashidah Ismail yang juga bekas guru tabika Kemas berkata, kehidupan sebelum dan selepas bergelar 'yang berhormat' masih sama seperti biasa.
Menurutnya, meskipun bergelar wakil rakyat, hubungan dengan keluarga bersama suami dan anak-anak tetap diutamakan.
Baginya, kemesraan sesebuah keluarga sememangnya patut dititik berat kerana masyarakat akan pandang dan menjadi satu nilaian di mata orang ramai.
"Anak-anak dan suami faham mereka memang tahu saya berminat dengan kerja-kerja kemasyarakatan.
Dahulu pun pernah saya niat di hati selepas bersara guru tabika saya nak berkhidmat secara percuma kepada rumah kebajikan atau anak yatim.
"Itu niat saya awal-awal. Bila dah jadi wakil rakyat benda tu seolah-seolah datang cepat sebab nak tunggu bersara umur 60 tahun. Saya bersyukur kerana dapat bantu orang dapat ziarah masyarakat, orang susah, anak yatim," katanya ketika sesi wawancara Sinar Live bertajuk 'Dari Guru Tabika Ke YB: Apa Cabarannya' di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Pasir Raja Taman Sri Saujana, semalam.
Rashidah berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka boleh menjadi 'YB' bahkan tidak terlintas mempunyai niat mahu menjadi wakil rakyat.
Katanya, mungkin kerana kerja yang dilakukannya selama ini membuatkan orang melihat dan menilai seterusnya ditawarkan menjadi wakil rakyat.
"Syukur sekarang sambung kerja macam biasa. Sejak anak-anak kecil memang saya dah aktif dengan persatuan belia saya pernah menjadi pengerusi belia selama 10 tahun.
"Dalam Umno pula saya sudah jadi ahli sejak usia 18 tahun. Selepas diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Kebajikan Umno Tenggara sebaik habis kerja mengajar, jam 7 pagi sampai 2 petang saya akan terus tumpu pada kerja kemasyarakatan.
"Bagi saya yang penting keikhlasan dan kerja keras kena ada. Sekarang tetap masih sama bersama keluarga dan rakyat tak ada apa-apa beza. Cuma sekarang kita kena kerja lebih kuat lagi sebab kita bersama masyarakat apa-apa keperluan rakyat kita kena hadir ambil berat beri lebih perhatian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!