Dendam seorang perokok
KETIKA sedang bersarapan di Amcorp Mall, saya didatangi seorang pemuda yang segak dan kemas untuk menumpang duduk bersama di meja. Meja yang saya duduk berdekatan dengan kaunter. Saja saya memilihnya kerana dekat dengan pintu supaya senang keluar.
Entah kenapa pemuda itu berminat pula duduk di situ juga. Mungkin dia pun berfikiran sama dengan saya, walaupun biasanya pada awal waktu pagi begini, masih banyak meja kosong.
“Tak ada orang bang? Aku tumpang duduk ya.”
Saya hanya tersenyum dan angguk kepala. Kemudian terus menumpukan perhatian kepada sarapan. Pada masa itu, saya sebenarnya sedang membaca buku. Dan buku yang saya baca pada hari itu adalah Pepatah Petitih Pak Sako.
Selesai makan, sambil menikmati pembacaan, pemuda itu menyapa saya sekali lagi,
“Nanti tahun depan, tak berapa hari lagi, dah tak boleh hisap rokok dah ya?’’
“Aha ya,’’ jawab saya.
“Tahun depan satu hari bulan ya?’’ tanya pemuda itu lagi.
“Aha ya betul,’’ jawab saya lagi.
“Semua tempat tak boleh ya. Restoran, kedai makan dan warung tepi jalan juga tak boleh ya?’’ tanya pemuda itu lagi sambil mengeluarkan rokok Dunhill kotak merah. Lalu ditariknya sebatang, kemudian dihentak hujung buntutnya beberapa kali untuk memadatkan tembakau. Dicucuh rokok itu, menyedutnya dan menghembus asap sambil melontarkan keluhan,
“Teruklah begini. Kat mana lagi nak hisap rokok? Kalau semua tempat makan tak boleh.’’
“Oh, hisap dalam tandas,” kata saya tersengih. Saya tidak berminat untuk berbual pagi-pagi begini. Entah kenapa pemuda itu beria-ia pula hendak berbual.
Dia ketawa dengan cadangan saya.
“Sepatutnya kerajaan kena buat macam dulu. Kena ada ruangan khas untuk perokok. Selepas makanlah nak merokok. Enak, sedap, puas,” katanya seperti cogan kata pula bunyinya.
“Gangguan kepada orang yang tak merokok,” kata saya pula.
“Kalau macam tu, buatlah tempat khas macam dulu. Ini tempat khas pun tak ada. Tak kan lepas makan kena merokok di tempat lain pula,” kata pemuda itu.
Saya hanya mengangguk. Katanya lagi, “perokok pun ada hak juga. Bukan orang yang tidak merokok sahaja ada hak. Kalau tidak, ini tidak adil. Kata nak sama rata. Itulah, patut ambil ICERD tu. Baru ada hak sama rata,’’ tegas pemuda itu lagi sambil mengepul asapnya menusuk lubang hidung saya.
“Hmm....”
“Tak apa. Kalau orang yang tak merokok boleh tuntut haknya, aku sebagai perokok juga nak tuntut hak,’’ kata pemuda itu lagi.
“Er, tuntut macam mana tu saudara?’’ tanya saya.
“Ya lah, mereka tak bagi kami merokok di tempat awam. Pada masa yang sama tak nak sediakan juga tempat merokok, sebab mengganggu persekitaran, jadi aku pun tak nak persekitaran aku diganggu juga,” kata pemuda itu.
Saya mengerut dahi berfikir apa maksudnya.
“Kau tahu, minggu lepas aku dengan kawan pergi makan nasi kandar di PJ. Ramai orang di situ. Sebelum pesan makanan, aku keluarkan rokok. Baru sahaja hendak cucuh, ada seorang kakak tu tegur. Meja kami bersebelahan sahaja.
Kakak tu kata, "boleh tak jangan merokok. Nanti asap encik berkepul ke sini. Masuk persekitaran saya. Lemas." Aku tersentak juga. Lagipun kawasan ini tak ada pula tulis dilarang merokok. Ada tempat buang rokok lagi atas meja.
Tapi sebab malas nak bergaduh, aku pun tak jadi cucuh. Kakak tu terus senyum dan berbual semula dengan kawannya. Aku tak puas hati juga. Tapi aku sabar sahaja.
Kemudian bila selesai makan, aku pun menegur kakak tu pula. Aku agak mungkin kakak tu ingat aku nak minta kebenaran dia merokok.
Sebenarnya aku saja nak kenakan dia. Aku kata, "akak, boleh cakap perlahan sikit tak. Suara akak kuat sangat. Dengar sampai ke telinga saya. Ganggu persekitaran saya tahu. Saya tak nak dengar cerita akak tentang fesyen terkini, gosip artis, cerita akak beranak caesar dah dua kali. Geli telinga saya. Saya boleh jatuh sakit tahu."
Akak tu terkejut. Bulat matanya tengok aku. Tapi akak tu tak cakap apa, terus bersembang juga dengan kawan dia dan bercakap lebih kuat. Ah, ini tak boleh jadi kata aku. Aku pun terus bercakap kuat juga biar dia dengar.
Kemudian aku keluarkan kotak rokok letak tepi meja. Selepas tu aku tarik sebatang dan hentak-hentak di meja. Akak tu menjeling. Kemudian aku sepit di bibir.
Aku acah-acah pula cuba nyalakan pemetik api beberapa kali. Tiba-tiba akak tu bangun dan berkata, "encik ni memang teruk. Tak tahu hormat orang. Suka hati sahaja nak hisap rokok. Tak ada sivik!" Lalu pergi dengan muka masam mencuka.
Puas hati aku. Kalau dia tak nak persekitarannya diganggu dengan asap rokok aku, aku pun tak nak juga diganggu dengan mulut bising dia. Aku pun ada hak juga. Betul tak?” tanya pemuda itu dengan bangga sambil ketawa.
Saya terlopong mendengar ceritanya, "macam ini punya orang pun ada?"
*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk komen, email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!