Pondok pengawal jadi pondok rezeki

Anggota JSJKNS menyusun barangan keperluan yang di sumbangan di rak pondok rezeki.
Anggota JSJKNS menyusun barangan keperluan yang di sumbangan di rak pondok rezeki.
A
A
A

SEREMBAN - Ketika kebanyakan masjid menyediakan gerobok rezeki atau rak pahala untuk membantu mereka memerlukan, inisiatif sama turut diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan (JSJKNS) di sini.

Menggunakan pondok pengawal sedia ada yang tidak lagi digunakan, jabatan berkenaan menjadikan ia sebagai pondok rezeki yang beroperasi 24 jam.

Ketuanya, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, projek berkenaan yang dilancarkan Mei lalu oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop bertujuan membantu anggota memerlukan.

"Keutamaan kita sudah tentu kepada anggota. Kita tahu ada yang bila tengah bulan alami masalah kewangan dan dengan adanya rak ini setidaknya dapat bantu mereka.

"Tapi jika sesiapa yang rasa dia betul-betul perlu boleh datang ambil barang disediakan di sini yang dibuka 24 jam," katanya kepada Sinar Harian.

Malah kata Aibee, mereka tidak perlu rasa malu untuk ambil barang di situ kerana tiada pengawal disediakan atau ditetapkan sebarang syarat.

Anggota JSJKNS menyerahkan bungkusan beras kepada pekerja pembersihan jabatan itu.
Anggota JSJKNS menyerahkan bungkusan beras kepada pekerja pembersihan jabatan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia hanya mengharapkan pondok itu dapat memberi manfaat kepada mereka memerlukan, bukan sekadar mahu ambil kesempatan kerana ia percuma.

"Sejak dilancarkan, program ini mendapat sambutan menggalakkan dan biasanya dalam tempoh seminggu selepas kita letak barang ia sudah kosong," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyumbang barangan keperluan termasuk pakaian terpakai dengan meletakkannya di pondok berkenaan.

"Saya juga mahu didik anggota supaya kita berkongsi rezeki yang ada. Mungkin hari ini kita senang, tapi kita tidak tahu akan datang kita berada dalam keadaan susah.

"Siapa yang datang ambil, sama ada dia layak atau tidak jangan jadikan ia isu. Yang penting niat kita untuk bersedekah walaupun ia hanya sebungkus gula" katanya.

Antara barangan keperluan disediakan ialah beras, gula, susu dan kicap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!