Angkasa lancar BA100

Wan Suraya turut melancarkan ePelancar, majalah digital Angkasa yang turut disaksikan Abdul Fattah (tiga kiri) pada majlis tersebut. - FOTO: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Wan Suraya turut melancarkan ePelancar, majalah digital Angkasa yang turut disaksikan Abdul Fattah (tiga kiri) pada majlis tersebut. - FOTO: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melancarkan sistem Barang Asas 100 (BA100), satu program menawarkan produk pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa menyasarkan lebih 2,600 kedai serbaneka yang diusahakan gerakan koperasi di seluruh negara akan mengguna pakai BA100 sehingga tahun hadapan.

“Sejak dimulakan sebagai percubaan Mei lalu, sebanyak 180 koperasi telah menggunakan sistem ini dan maklum balas mereka amat positif.

“Ini salah satu strategi untuk meningkatkan perolehan kedai koperasi pada masa akan datang dan dijangka tahun hadapan, perolehan tersebut dapat ditambah RM1 bilion dengan penggunaan sistem ini,” katanya kepada media selepas pelancaran BA100 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Makan Malam sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa (PKTA) ke-34 2019 yang akan berlangsung esok.

Turut hadir Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, pengenalan sistem BA100 mengurangkan penglibatan orang tengah sekali gus merendahkan harga barangan keperluan seterusnya membantu meringankan beban pengguna.

"Menerusi sistem ini, Angkasa menjadi perantara di mana peranan atau jumlah orang tengah dalam pengedaran barang ke outlet terakhir dapat dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu kita dapat mengurangkan kos dan inilah cara kita membantu supaya harga barangan keperluan rakyat dikurangkan,” katanya.

Abdul Fattah berkata, sistem itu juga akan diperluaskan ke kedai bukan bawah koperasi pada tahun berikutnya juga bagi memberi manfaat kepada pengguna.

“KSU sendiri juga amat menggalakkan usaha ini dan diharap sistem ini dikembangkan.

“Memang itu usaha akan kami lakukan dan diharap kerajaan dapat memberikan pinjaman kepada Angkasa bagi meningkatkan kemudahan sistem ini bagi kemudahan pengguna termasuk peruncit dan pengguna,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!