Krisis Rohingya: Sudah tiba masa ASEAN main peranan

Etnik Rohingya - Foto Bernama
Etnik Rohingya - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah tiba masa ASEAN perlu memainkan peranan lebih jitu dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Myanmar dan proses penghantaran pulang Rohingya ke Rakhine.

Penganalisis dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Myanmar (MISIS) U Kyaw Myaing berkata penglibatan ASEAN secara proaktif akan membantu menyelesaikan krisis itu dengan lebih cepat.

Beliau berkata sejak 2017 isu kemanusiaan menjadi tajuk berita dunia dan jika tidak ditangani boleh memberi kesan buruk kepada seluruh rantau itu.

"Saya fikir adalah satu langkah betul dan tepat untuk ASEAN terlibat dalam membantu menyelesaikan isu kemanusiaan ini, kerana ia bukan masalah antara Myanmar dan Bangladesh (sahaja), malah boleh memberi kesan kepada seluruh rantau," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di luar Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 di sini baru-baru ini.

Pada Ahad, pemimpin ASEAN dalam satu pernyataan di akhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di Bangkok, mengesahkan peranan ASEAN untuk meningkatkan sokongan membantu Myanmar dalam menyediakan bantuan kemanusiaan dan memudahkan proses penghantaran balik Rohingya ke Rakhine.

Kyaw Myaing berkata penglibatan ASEAN dalam isu itu tidak harus dilihat sebagai gangguan.

"Dulu ASEAN agak lambat bertindak, tetapi sekarang ASEAN bersungguh-sungguh dengan menjadi penyelaras Pusat Bantuan Bantuan Kemanusiaan.

Pada Ogos 2017, lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh berikutan pertempuran antara Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) dan pihak polis di Rakhine yang penduduknya majoriti Muslim.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 750,000 pelarian Rohingya kini berlindung di kem di Cox's Bazar Bangladesh.

Pada Januari 2018, kerajaan Myanmar dan Bangladesh memeterai perjanjian untuk menetapkan tempoh masa bagi penghantaran pelarian balik ke Myanmar.

Kyaw Myaing berkata di bawah perjanjian itu kerajaan Myanmar mewujudkan Enterprise Union for Humanitarian Assistance, Resettlement and Development di Rakhine (UEHRD).

Bagaimanapun, katanya hanya kira-kira 200 pelarian Rohingya telah kembali ke Myanmar di bawah program itu setakat ini.

Beliau berkata jumlah yang rendah itu disebabkan kegagalan pihak Bangladesh mengedarkan borang imigresen kepada pelarian.

Menurutnya, di bawah kesepakatan antara Myanmar dan Bangladesh (pelarian) perlu mengisi borang imigresen; borang ini diserahkan kepada pihak Bangladesh oleh diplomat Myanmar dengan harapan ia diedarkan kepada pelarian di Cox's Bazar.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan Myanmar komited untuk mencari penyelesaian jangka panjang berhubung masalah dihadapi umat Islam Rohingya menerusi program pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi membangunkan masyarakat.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!