'Tolonglah, saya hanya mahukan keadilan'

Md Ali menunjukkan salinan surat yang dihantar kepada KPN susulan kesediaan KPN memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kes penahanannya tanpa bicara bawah EO pada 1997.
Md Ali menunjukkan salinan surat yang dihantar kepada KPN susulan kesediaan KPN memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kes penahanannya tanpa bicara bawah EO pada 1997.
A
A
A

SUBANG JAYA - Bekas pegawai polis, Md Ali Amir Batcha, 65, yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) terus mempertahankan pendirian bahawa dia tidak pernah mendapat keadilan sepanjang proses siasatan ketika dituduh terlibat kes rasuah dan rompakan 20 tahun lalu.

Md Ali berkata, dia sedia mengemukakan segala fakta dan dokumen-dokumen sahih bagi membuktikan dia adalah mangsa konspirasi hasil pertuduhan palsu yang dikenakan ke atasnya.

Menurutnya, surat berkaitan temu janji dengan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah dihantar pada 17 Mei lalu sebagai usahanya untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.

"Sebelum itu KPN telah menyatakan sedia memanggil saya kerana pendedahan saya menunjukkan yang saya yakin tidak bersalah. Namun dalam masa sama beliau juga yakin dengan proses yang telah dijalankan dan keadilan telah dilaksanakan berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM).

ARTIKEL BERKAITAN: KPN akan panggil bekas pegawai polis Md Ali Amir Batcha

"Apa yang saya mahu tekankan adalah saya tidak mendapat apa-apa keadilan pun. Saya harap pertemuan dengan beliau dapat dibuat sebagai peluang untuk saya mendapatkan keadilan yang sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini.

Jelas Md Ali, ketidakadilan yang dihadapinya berkaitan dua kes yang dituduh begitu jelas kerana setiap pertuduhan hanya berdasarkan 'hearsay' dan fitnah.

"Siasatan berhubung tuduhan rasuah akhirnya tidak dapat dibuktikan. Jadi saya membuat tuntutan atas tindakan tahan kerja terhadap saya selama 8 bulan 22 hari. Saya sekeluarga menanggung kerugian kerana terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi. Semua itu (termasuk gaji yang ditahan) sepatutnya dipulangkan. Namun saya tidak mendapat apa-apa.

"Berhubung tuduhan merompak pula, selama tiga tahun saya ditahan tanpa bicara di Simpang Renggam di bawah EO sedangkan saya boleh membuktikan tidak bersalah. Kenapa tidak dibuat siasatan berhubung salah laku saya dan kenapa saya tidak dibicarakan di mahkamah terbuka? Kerana itu saya telah dibuang kerja jadi di mana keadilan yang dikatakan telah diberikan kepada saya. Ini semua semata-mata atas fitnah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, satu tuntutan tribunal juga telah dibuat sekiranya gagal mendapat keadilan daripada pihak polis

"Saya akan tunggu setelah usaha untuk jumpa KPN yang akan diatur bersama peguam saya. Kalau KPN boleh bagi keadilan Alhamdulillah. Jika tidak, saya akan tuntut kepada tribunal dan failkan semula ke mahkamah.

"Saya akan keluarkan saksi hidup saya yang sedia ke depan, saya akan keluarkan dokumen-dokumen yang sokong apa yang saya cakap. Kalau mereka hanya dengan 'hearsay' boleh 'kenakan' saya, kenapa mereka tidak boleh dengar saya dengan fakta dan saksi untuk mengadili saya," katanya.

Difahamkan Md Ali yang pernah bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Jenayah Berat (D9) mempunyai rekod cemerlang ketika berkhidmat apabila berjaya menembak mati 150 penjenayah bersenjata api dan ratusan senjata berat dirampas dalam 49 pertempuran, di samping pernah dianugerahkan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis.

Pada Disember tahun lalu, Md Ali mula membuat pendedahan di media bagi menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan palsu terhadapnya dan sedia dibicarakan semula di mahkamah selepas ditahan tanpa bicara di bawah EO pada 1997.

Susulan pendedahan yang dibuat, pada 15 Mei lalu, Abdul Hamid Bador mengambil sikap terbuka menyatakan kesediaan untuk memanggil Md Ali bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!