Dua remaja perempuan bakal tunai haji
GOMBAK - Berkat kesedaran awal ibu bapa mereka mendaftarkan nama di Tabung Haji seawal usia tujuh tahun, dua beradik perempuan bakal menjadi jemaah haji tahun ini.
Nurul Afifatuliyana Khairul Anuar, 22 dan adiknya Nurul Fadiatul Husna,18 menjadi bakal jemaah paling muda yang menerima insentif haji dari kerajaan negeri dalam satu majlis penyampaian diadakan hari ini.
Berkongsi cerita, Nurul Fadiatul Husna berkata, dia dan kakaknya menerima tawaran pada Mac lalu dan bakal berangkat ke tanah suci Makkah pada 15 Julai depan bersama bapa Khairul Anuar Nordin, 52 dan ibu, Rabiah Saifuddin, 48.
Katanya, dia bersyukur kerana terpilih untuk mengerjakan haji pada usia yang muda meski pun giliran dijangkakan pada tahun hadapan.
“Sejak kami kecil, masa saya umur tujuh tahun lagi mak dan ayah sudah daftarkan dengan Tabung Haji.
“Saya pernah ke Makkah bersama keluarga yang menunaikan umrah ketika berusia dua tahun. Alhamdulillah tahun ini saya dapat mengerjakan haji.
“Perasaan gembira dan gementar juga ada. Kawan-kawan pun agak terkejut apabila mendapat tahu saya bakal pergi menunaikan haji tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Afifatuliyana berkata, disebabkan jangkaan giliran pada tahun 2020, persediaan untuk menunaikan haji telah dilakukan sejak tahun lalu lagi.
“Kami menghadiri kelas dan mengikuti kursus haji bersama ibu sebagai persediaan. Tak sangka terpilih tahun ini,” katanya.
Terdahulu, mereka menjadi antara 600 penerima insentif Haji MBI Selangor 2019 disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!