Bukan payah nak hidup
ADALAH amat sukar bagi saya untuk menghuraikan dalam tulisan seringkas ini berkaitan dengan hala tuju kehidupan. Ini kerana kehidupan itu sendiri bukanlah sesuatu yang boleh distrukturkan dengan mudah dan tepat. Apa yang nyata, kita semua mahukan kehidupan yang adil dan sempurna. Pun begitu, hakikat kehidupan ini sukar sebenarnya.
Banyak insan-insan yang telah kecewa, merana dan tidak bernasib baik seperti mana orang lain. Namun, kita tidak boleh berterusan dalam keadaan payah untuk hidup. Paling penting kita perlu belajar kenal diri sendiri dan tahu tujuan hidup barulah dapat mengubah stigma payahnya untuk hidup.
Sesungguhnya segala apa yang berlaku kepada kita atas dunia ini adalah warna-warna kehidupan. Sama ada kita kaya atau miskin, senang atau susah, tersohor atau tidak, itu semua adalah warna-warna hidup dan bukannya hakikat hidup. Sebetulnya, masih ramai manusia yang alpa dengan warna-warna kehidupan. Bagi mereka yang menyerlah, rasa bangga dititipkan kepada diri sendiri. Mereka yang rebah dan tersungkur pula, 1,001 macam kekesalan diratapi dan ditangisi. Namun, hakikat kehidupan amat jauh sekali untuk dipelajari dan difahami. Akhirnya, mereka akan semakin jauh tersasar.
Sebetulnya, ramai yang sukar untuk hidup kerana masih tidak berusaha mengubah pelbagai sikap tercela yang ada dalam diri. Sesungguhnya terdapat 15 sifat manusia yang terkandung dalam Al-Quran iaitu: lemah (Surah Al-Nisa’ 4: 28); terpedaya (Surah Al-Infitar 82:6); lalai (Surah Al-Takathur 102:1); takut (Surah Al-Baqarah 2:155); bersedih hati (Surah Al-Baqarah 2:62); tergesa-gesa (Surah Al-Isra’ 17:11); membantah (Surah Al-Nahl 16:4); berlebih-lebihan (Surah Yunus 10:12); Pelupa (Surah Al-Zumar 39:8); berkeluh-kesah (Surah Al-Ma’arij 70:20); kedekut (Surah Al-Isra’ 17:100); kufur nikmat (Surah Al-Zukhruf 43:15); zalim (Surah Al-Ahzab 33:72); berprasangka (Surah Yunus 10: 36) dan berangan-angan (Surah Al-Hadid 57:14).
Sesungguhnya sikap yang tercela tersebut terbit dalam diri kerana ketidakfahaman tentang tujuan kita hidup di muka bumi ini. Ramai yang sudah lupa sifat kita sebagai hamba dan bukannya tuan.
Selain itu, mereka sudah lupa tentang tanggungjawab untuk semarakkan kasih sayang kepada semua insan. Malah mereka juga lupa bahawa dunia ini adalah persinggahan sementara bagi menanam kebaikan untuk dituai di akhirat nanti. Ketaranya sifat lupa tersebut menyebabkan sifat kekaguman kepada diri sendiri semakin memuncak.
Pendek kata, segala yang baik dan suci datangnya daripada mereka. Apa yang lebih ketara, boleh menyucikan pula orang lain atas sifat hebatnya mereka.
Prinsip
Selain itu, sikap suka menghukum sudah menjadi amalan kehidupan. Mereka sudah lupa bahawa syurga dan neraka adalah ketentuan ALLAH berdasarkan perhitungan amal dan rahmat-Nya. Hakikatnya, penonjolan sikap sebegitu bukanlah membawa ketenangan dalam diri, sebaliknya kehidupan akan menjadi lebih susah kerana sudah tergelincir daripada paksi kehidupan.
Secara prinsipnya, kehidupan kita akan menjadi mudah jika kita berpegang teguh kepada agama. Kehidupan beragama menganjur kita agar sentiasa ikhlaskan hati dalam apa jua tindakan. Malah para Hukama pernah berkata; "Amalan yang kecil boleh jadi besar harganya, lantaran kesucian niat. Sebaliknya amalan yang besar menjadi kecil, lantaran niat juga". Selain itu, kita perlu sentiasa bersederhana dan belajar untuk merasionalkan akal.
Buya Hamka pernah berkata: “Mempergunakan akal dengan saksama, berkehendak kepada latihan yang lama serta kesungguhan yang tidak berhenti-henti. Orang yang berakal memandang ringan segala kesusahan. Dia bukan mengingat payahnya mendaki sekarang, tetapi yang diingatnya ialah bahawa sesudah diri sampai di puncak bukit itu, dia akan merenung di bawah, melihat alam yang terbentang dengan luasnya. Di sana nikmat ALLAH datang bertubi-tubi, tidak putus-putus dan tidak berhenti-henti."
Adalah jelas, bukan payah untuk hidup jika berjaya menguruskan persoalan dalam diri serta berhubungan baik dengan manusia. Sikap keakuan, mudah ragu, tidak yakin, serba salah dan pelbagai lagi kecelaruan pemikiran dan hati akan dapat di atasi jika kita berpegang teguh pada tali ALLAH. Dampingilah orang yang baik dan bermanfaat kerana kita akan belajar untuk menyayangi dan bukannya menyakiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!