Waspada geng penebuk kapal
PERWAKILAN dari Kedah di Muktamar Pas ke-65 baru-baru ini ada memberi pesan. Pesan itu amat penting supaya sejarah hitam perpecahan dalam Pas sehingga melahirkan parti Amanah tidak berulang.
Perwakilan itu memberi pesan supaya berhati-hati dengan geng penebuk kapal. Penebuk kapal ini bahaya. Apabila mereka berjaya menebuk kapal, maka kapal itu tidak berguna lagi. Itupun jika mereka menebuknya sebelum sempat belayar.
Jika mereka berjaya menebuk kapal itu ketika belayar, maka akibatnya lebih buruk pula. Selain tenggelamnya kapal itu, kecederaan dan kehilangan nyawa boleh berlaku juga. Oleh itu perlulah seluruh anak kapal berhati-hati.
Perwakilan berkata, penebuk kapal akan cuba menggagalkan usaha jalinan kerjasama antara Pas dan UMNO. Apabila itu berlaku maka apa yang dirancang akan gagal dan mungkin melibatkan perpecahan dalam kalangan parti pula.
Untuk menebuk kapal ini bukan senang. Sudah pasti ia akan ditebuk dari dalam. Jika dari luar amat sukar untuk melaksanakannya. Ini kerana dari luar, mereka perlu mencari orang dalam pula untuk membantu.
Orang dalam, mereka boleh menebuk kapal pada bila-bila masa sahaja. Mereka boleh sahaja menebuk pada waktu siang dan juga waktu malam. Jika menebuk pada waktu siang, hanya perlu pastikan tiada yang melihat. Kalau menebuk kapal pada waktu malam lagi mudah urusannya. Tidak perlu lagi risau akan ada orang yang melihat. Ini kerana kebanyakan anak kapal sudah tidur. Jadi lebih mudah melakukan kerja penebukan pada waktu malam sahaja.
Jika dari luar, perlu ada rakan kongsi dari dalam pula. Apa yang perlu dibuat adalah menjalinkan hubungan rapat dan dan memberi upah kepada orang dalam untuk menebuknya.
Orang dalam ini seperti kata peribahasa Melayu lama ibarat musuh dalam selimut. Musuh dalam selimut memang berbahaya. Kita tidak tahu ketika mana mereka menyelinap. Paling bahaya, musuh yang berselimut itu dalam kalangan orang-orang yang kita kenal dan percaya pula.
Selain itu, perwakilan Kedah itu juga memberi pesan supaya taat kepada keputusan pimpinan. Ketaatan itu perlu kerana Pas akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan rumit pada masa hadapan.
Bagi memastikan mereka dapat menghindari daripada penebuk kapal dan pada masa sama memastikan para ahli taat, maka nakhoda kapal pula perlu memberi penerangan dan pemahaman berterusan akan tujuan kerjasama antara Pas dan UMNO ini.
Untuk memberi faham kepada ahli parti yang memang dalam kalangan orang Melayu ini amat mudah. Yang paling penting ialah kepercayaan perlu diperoleh terlebih dahulu. Seperti kata Frank Swettenham yang saya petik daripada buku Perihal Orang Melayu iaitu jika kita ingin memahami orang Melayu, maka tinggallah di negerinya, bertutur bahasanya, hormati agamanya, minat apa yang diminatinya, melayan apa yang disukai dan yang tidak disukainya, bersimpati dengannya dan menolongnya ketika dalam kesusahan dan mungkin menanggung kerugian untuknya. Maka dengan cara itulah kita akan mendapat kepercayaannya. Setelah mendapat kepercayaan maka penerangan untuk memberi faham kepada mereka akan lebih mudah.
Oleh itu pimpinan tinggi Pas dan UMNO perlulah menggunakan cara ini, supaya kesatuan ummah akan lebih mantap dan kuat dalam mengharungi pilihan raya akan datang nanti.
Namun begitu, ada satu lagi masalah yang perlu diberi perhatian oleh ahli Pas juga. Selain penebuk kapal, ada lagi musuh yang perlu dihadapi juga. Musuh ini mungkin lebih berbahaya daripada penebuk kapal.
Musuh ini mempunyai air muka yang bersih pula. Musuh ini jika dilihat sekali imbas akan membutakan hati dan mata kita juga.
Ada juga orang yang melihatnya tidak menyangka akan kejahatannya kerana kata mereka wajahnya memberi sejuk pada hati dan ketenangan pada jiwa. Tiada prasangka terlintas pada musuh ini pula.
Maka berhati-hatilah dengan musuh ini. Musuh ini tidak perlu bersembunyi di dalam selimut, kerana mereka memang sudah dipercayai. Musuh ini bebas bergerak ke mana-mana dan menyuarakan apa-apa sahaja supaya taat dan patuh padanya juga.
Musuh yang berbahaya ini juga sering berubah-ubah akan pendiriannya. Bak kata peribahasa Melayu lama kita lagi iaitu lidah biawak. Lidah biawak ini bercabang dan kata orang-orang tua bijaksana kita lagi orang begini tidak kekal dengan kawan juga. Maka berhati-hatilah.Musuh ini mungkin lebih berbahaya daripada penebuk kapal."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!