Mural potret arwah Muhammad Adib diconteng

Mural arwah Adib yang diconteng pihak tidak bertanggungjawab.
Mural arwah Adib yang diconteng pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

SHAH ALAM - Lukisan mural memaparkan potret anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang dilukis di bawah jejambat berdekatan Bulatan Selangor di sini diconteng pihak tidak bertanggungjawab.

Kejadian disedari petang semalam oleh pengguna jalan raya yang melalui laluan bertentangan dengan Balai Bomba dan Penyelamat, Shah Alam, Persiaran Sultan, Seksyen 15 di sini.

Difahamkan, mural menggunakan elemen warna hitam putih tersebut dilukis sejak beberapa hari lalu bagi memperingati jasa dan pengorbanan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang sanggup mengorbankan nyawa ketika menjalankan tugas.

Bagaimanapun, identiti individu atau pihak yang melukis mural tersebut tidak dapat dipastikan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak pasti siapa yang melukis mural tersebut.

“Saya tak pasti siapa yang melukisnya dan bila. Orang yang melukisnya pada pandangan saya mempunyai berkemahiran tinggi dan mahir.

Mural arwah Adib yang dilukis beberapa hari lalu sebelum diconteng pihak tidak bertanggungjawab.
Mural arwah Adib yang dilukis beberapa hari lalu sebelum diconteng pihak tidak bertanggungjawab.

“Berkaitan tindakan menconteng mural itu saya tiada komen kerana mural ini dilukis di kawasan umum,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, orang ramai melahirkan rasa geram dan sedih apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membuat khianat dengan bertindak menconteng lukisan tersebut.

Pelayar Facebook, Mohdfandy Andy dalam status dimuat naik di bahagian komen di gambar yang tular menulis, pihak berwajib perlu mengenalpasti siapa yang melakukan perbuatan itu.

“Pihak bomba kena selidik siapa perosak ni. Jangan biar kamu dihina,” tulisnya.

Seorang lagi pelayar Facebook, Safari Adnan memuat naik komen mendoakan arwah wira negara itu supaya akan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Semoga suatu hari nanti arwah mendapat pembelaan dan manusia yang terlibat ALLAH bayar cash (tunai),” tulisnya.

Tinjauan Sinar Harian jam 9 pagi tadi mendapati mural potret Adib yang diconteng sudah ditutup dengan plastik kanvas.
Tinjauan Sinar Harian jam 9 pagi tadi mendapati mural potret Adib yang diconteng sudah ditutup dengan plastik kanvas.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 9 pagi tadi mendapati lukisan mural yang diconteng telah ditutup dengan plastik kanvas berwarna biru.

Allahyarham Muhammad Adib cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya November tahun lalu dan disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas hampir sebulan mendapat rawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!