Watak jahat buat Iko Uwais jatuh sakit
BINTANG terkenal Indonesia, Iko Uwais memberitahu, dia mengalami sakit kepala yang teruk sehingga dikejarkan ke hospital ketika menjalani penggambaran filem Stuber, awal bulan ini.
Jelasnya secara eksklusif kepada Sinar Harian ketika dihubungi menerusi bantuan The Walt Disney Indonesia, Iko berkata, demi menghidupkan watak penjahat sebagai Oka Tedjo, dia perlu mewarnakan rambutnya dengan warna perang.
“Untuk nampak lebih natural, saya perlu warnakan rambut. Jadi ceritanya, untuk mendapatkan warna rambut yang diinginkan itu saya perlu bleaching sebanyak dua kali, barulah dapat warna yang betul.
Tapi setelah melalui proses itu saya rasa tidak selesa. Mungkin pewarna itu terlalu keras sehinggakan saya migrain selama dua minggu. Malah, kalau rambut disentuh pun akan terasa sakitnya.
"Saya ingatkan makan ubat pain killer boleh sihat tapi silap. Lantas, saya terpaksa dimasukkan ke hospital. “Walaupun sakit saya tetap teruskan juga untuk habiskan babak yang masih berbaki. Syukur kerana pihak produksi banyak membantu,” ujarnya profesional.
Bukan sahaja selaku pelakon utama watak jahat, Iko juga bertindak sebagai pengarah koreografer dalam aksi babak pergaduhan.
“Tidak hanya berlakon semata-mata, saya juga diberi penghormatan untuk menjadi pengarah koreografer dalam babak berlawan,” ujarnya kebolehan sebagai pelakon lagak ngeri dan ilmu persilatan sebagai satu tambah nilai.
Ini merupakan filem komedi aksi pertama lakonannya. Terdahulu, Iko pernah memegang watak sebagai Yuda seorang perantau Minangkabau dalam filem Merantau pada tahun 2009. Diikuti filem The Raid dan The Raid 2 serta Star Wars: The Force Awakens pada 2015.
Mengakhiri perbualan, Iko berharap lakonan dan filem Stuber mendapat sambutan hangat di Malaysia yang bakal ditayangkan bermula 15 Ogos 2019. Dalam masa sama, Iko juga sedang menjalani penggambaran selaku pelakon dan produser serta pengarah stunt untuk genre siri jenayah di Netflix, Wu Assassins.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!