Percubaan pertama Nubhan

Penyanyi, Nubhan
Penyanyi, Nubhan
A
A
A

HARI ini, dengan adanya media sosial dilihat membantu golongan artis untuk lebih mudah mempromosikan produk terbaharu mereka. Malah ada yang menggunakan kaedah kuasa viral untuk cepat popular.

Penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali dengan nama Nubhan, tidak menafikan trend viral sememangnya antara kaedah yang membolehkan sesuatu produk itu cepat tersebar.

“Saya tengok sebilangan penyanyi hari ini apabila muncul dengan lagu baharu, mereka suka menggunakan pendekatan viral di media sosial. Tidak ada salahnya malah ia bagus untuk pengenalan diri dan sebagai langkah mempromosikan karya kepada orang ramai.

"Mungkin mereka mempunyai audiens pada pasaran tersendiri,” ujar Nubhan.

Pun begitu, bagi penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini, dia lebih mementingkan kualiti daripada sekadar viral.

“Kalau ditanya, seharusnya saya lebih suka menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti dari segenap segi sehingga dijadikan runut bunyi bagi drama, filem dan sebagainya atau lebih baik sehingga berjaya dibawa ke peringkat Anugerah Juara Lagu.

“Namun saya akui untuk bersaing dalam industri pada hari ini, saya tidak boleh ketinggalan dengan kelebihan media sosial. Justeru, langkah terbaik adalah hasilkan lagu yang berkualiti dan berharap ia akan viral sendiri,” ujarnya.

Begitulah harapan bagi pemenang tempat ketiga program realiti, Akademi Fantasia musim keenam ini yang turut berasa teruja apabila single terbaharunya dilancarkan pada Januari lalu mendapat respons positif.

Artikel Berkaitan:

Nubhan di Muzik Muzik ke-34 ketika menyanyikan lagu terbaharu Selamat Jalan Cinta.
Nubhan di Muzik Muzik ke-34 ketika menyanyikan lagu terbaharu Selamat Jalan Cinta.

“Alhamdulillah, setakat enam bulan di pasaran, saya nampak prestasi memuaskan hati. Masih ada yang mengingati nama Nubhan dan paling penting dapat mengubat rindu peminat yang sentiasa bertanyakan tentang perkembangan terbaharu.

“Dengan single ini juga saya mahu peminat tahu yang saya kini kembali aktif dalam bidang seni. Sebelum ini, saya kurang aktif kerana fokus pada bidang bisnes,” katanya.

Lagu taruhan Nubhan berjudul Selamat Jalan Cinta dicipta oleh komposer Merak Bersyair manakala lirik oleh Becky Zulkepli.

Dalam perkembangan lain, Nubhan bakal memasuki studio untuk rakaman single terbaharu ciptaan komposer Indonesia, iaitu Ressa Herlambang yang dijangka akan dikeluarkan pada September depan.

“Lagu baharu itu nanti merupakan percubaan pertama saya untuk meneroka genre baharu. Sebelum ini saya hanya menyanyikan lagu berentak balada dan pop. Kali ini, saya cabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu.

“Saya harap single itu nanti diterima peminat. Nantikan kejutan daripada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita tentang bisnes pula, Nubhan bakal mengeluarkan produk kecantikan kulit yang dihasilkan dari Korea.

"Sebelum ini saya ada produk kosmetik Juwita Divine dan masih lagi beroperasi seperti biasa cuma kelainan pada kali ini saya akan tampilkan produk kecantikan Color Cosmetic.

“Sasaran saya lebih kepada golongan orang muda,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!