Sokong turun had usia minimum pengundi berdaftar
JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang mengambil ketetapan serta pendirian untuk menyokong cadangan kerajaan PH untuk menurunkan usia minimum pengundi berdaftar kepada 18 tahun.
Perkara itu dizahirkan dalam satu usul yang diluluskan sempena Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang 2019, semalam.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, mereka melihat cadangan itu sebagai satu peluang untuk UMNO memenangi semula hati dan minda pengundi-pengundi muda.
“Sekali gus akan membantu usaha serta strategi parti untuk menambat kembali sokongan kumpulan tersebut kepada agenda perjuangan dan dasar-dasar parti dalam mengisi pembangunan negara,” katanya di sini hari ini.
Noor Azleen berkata, Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang mengambil ketetapan dan pendirian tersebut sebagai terjemahan kepada keterbukaan serta semangat progresif untuk terus memperjuangkan hak demokrasi anak-anak muda termasuklah dari kumpulan umur 18 hingga 21 tahun.
Katanya, pendirian itu juga diambil setelah meneliti dan mengambil kira banyak pandangan dalam pelbagai platform, serta input-input yang diberikan oleh pelbagai kelompok kumpulan masyarakat.
“Mereka rata-rata mahu melihat lebih ramai anak muda mempunyai suara dan representasi dalam pelbagai bidang, termasuklah soal politik, tadbir urus dan pemerintahan negara.
“Namun, usul yang diluluskan adalah cadangan menurunkan had umur tersebut mestilah dilaksanakan secara bersekali dengan pendaftaran automatik bagi setiap rakyat Malaysia yang genap umur 18 tahun,” katanya.
Beliau berkata, dirinya menyokong cadangan terbaharu daripada kerajaan itu memandangkan arah aliran global yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini, membuka serta sentiasa mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam kalangan anak muda dalam pelbagai bidang termasuklah arena politik.
“Hanya Malaysia dan Singapura sahaja dalam kalangan negara Asia Tenggara yang masih menetapkan 21 tahun sebagai umur layak mendaftar sebagai pengundi,” katanya.
Usul tersebut telah dibentang, dibahas dan diluluskan oleh perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang yang telah sempurna menjalankan mesyuarat perwakilan tahunan semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!