Ditipu percutian ke Korea, peguam rugi RM107,500
KUANTAN - Seorang peguam berputih mata selepas ditipu RM107,500 oleh ahli sendiket yang menawarkan pakej pelancongan dan percutian tidak wujud, enam bulan lalu.
Mangsa berusia 49 tahun itu ditipu suspek yang menawarkan diri untuk mengendalikan pakej pelancongan ke Korea.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek membuat tawaran pada bulan Jun lalu ketika menghubungi mangsa untuk bertanyakan pakej percutian tersebut.
“Suspek mengatakan kesediaan untuk mengurus dan mangsa bersetuju dan seramai 31 orang yang akan mengikuti percutian terbabit.
“Mangsa kemudian membuat pembayaran tunai dan masukkan ke dalam akaun suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa merasakan dirinya ditipu apabila tarikh yang sepatutnya bertolak ke Korea, tidak seperti dijanjikan.
“Mangsa cuba mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu, namun suspek memberikan pelbagai alasan.
“Merasakan dirinya tertipu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!