Jurujual rugi lebih RM8,000
JOHOR BAHRU - Terpedaya dengan pesanan ringkas dan butiran seakan asli daripada bank mengakibatkan seorang jurujual barangan telekomunikasi, di sini, kerugian lebih RM8,000 ketika cuba membuat pinjaman peribadi daripada satu laman sesawang.
Tragedi hitam wanita hanya mahu dikenali sebagai Zee, 29 itu bemula apabila dia nekad meminjam sejumlah wang daripada satu pautan laman sesawang bagi dijadikan modal membuka perniagaan kosmetik.
Menurutnya, pada 21 Jun lalu dia telah melayari satu pautan laman sesawang untuk mendapatkan pinjaman wang sebanyak RM5,000 sebelum berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Teh Jin Beng.
"Saya berurusan dengan lelaki ini melalui aplikasi WhatApp, sejurus membuat permohonan saya kemudiannya diminta menyerahkan beberapa dokumen peribadi seperti slip gaji, rekod Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga kad pengenalan.
"Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan semula oleh lelaki berkenaan yang saya layak untuk mendapatkan pinjaman itu, malah lebih tinggi daripada nilai dimohon iaitu RM10,000, saya akhirnya berminat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Aduan ADUN Stulang, Andrew Chen di sini hari ini.
Zee berkata, sejurus mendapat kebenaran dirinya berkenaan jumlah pinjaman itu, lelaki berkenaan terus memintanya melunaskan satu transaksi wang bernilai RM 700 yang didakwa sebagai deposit permohonan tersebut.
"Saya membuat transaksi wang ini pada 24 Jun lalu, keesokan harinya saya menerima gambar slip wang bernilai RM11,000 yang mana telah dimasukkan ke dalam akaun saya. Turut disertakan adalah butiran lengkap diri saya.
"Selepas memberi pengakuan yang dokuman itu adalah benar, saya kemudiannya dihubungi seorang lelaki lain bernama Lucas yang memaklumkan nama saya telah disenarai hitam dan perlu membayar RM1,000 untuk membuka Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit)," katanya.
Ekoran terdesak serta bimbang dengan proses tersebut, Zee memberitahu dirinya terus membuat bayaran itu selain dijanjikan dia akan menerima panggilan atau pesanan ringkas daripada pihak bank yang urusan itu sudah selesai.
"Lucas maklum pihak bank akan menghubungi saya atau pun memberi pesanan ringkas. Tidak lama, memang perkara itu berlaku. Apa yang membuat saya percaya adalah pesanan yang diterima betul-betul seakan sama dengan maklumat daripada pihak bank selain ia dikirim oleh nombor enam digit seperti setiap kali kita membuat urusan perbankan dalam talian.
"Disebabkan saya tidak menerima lagi wang itu, saya terus hubungi lelaki tadi dan dia kemudiannya memaklumkan wang saya telah ditahan di bank.
"Dari sini saya terus diperdaya apabila membuat tiga lagi transaksi bank bernilai RM2,020, RM3,000 dan RM2,000 dikatakan untuk membuka akaun semasa dan deposit," katanya.
Dia berkata, dirinya akhirnya berasa ditipu apabila sehingga kesemua transaksi dibuat dia masih belum menerima wang selain masih diminta menjelaskan RM2,500 lagi untuk proses terakhir pinjaman.
"Cara urusan pihak ini begitu meyakinkan, malah saya juga dijanjikan akan menerima semula semua duit yang dimasukkan bersama jumlah pinjaman pada mulanya. Selepas daripada itu saya terus membuat laporan polis dan begitu kesal kerana percaya dengan pihak ini.
"Perkara ini tidak boleh diduga kerana saya amat memerlukan wang. Sekarang masalah menjadi berganda-ganda selain terpaksa berhutang dengan ibu saya untuk menjelaskan satu transaksi," katanya.
Sementara itu, Andrew berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan membantu wanita ini mengikuti sebarang perkembangan kes yang telah dijalankan pihak polis.
Beliau juga berharap kejadian seperti ini tidak berlaku kepada mangsa-mangsa yang lain memandangkan talian telefon dan pautan laman sesawang pinjaman palsu ini masih beroperasi dengan aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!