Yadim sokong usaha MAIK Islamkan orang asli

Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Nik Omar Nik Abdul Aziz.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyambut baik usaha yang dibuat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menyasarkan untuk mengislamkan semua orang asli di negeri itu dalam tempoh 30 tahun.

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, usaha untuk memperkenalkan dan menyebarkan Islam adalah baik dan mengharapkan ia bermula dari sekarang.

Namun, beliau mengingatkan agar ia perlu disusuli dengan memberi ilmu dan khidmat terbaik kepada orang asli dalam semua aspek, termasuk memberikan perhatian terhadap isu kesihatan yang dialami golongan itu.

“Islam adalah satu sistem kehidupan yang terbaik, yang merupakan anugerah ALLAH kepada kita semua. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk perkenalkan Islam kepada semua manusia, termasuk kepada orang asli.

“Mereka juga berhak untuk mendapat ilmu dan pendedahan tentang Islam. Kita sebagai individu dan kerajaan mesti prihatin terhadap nasib mereka dan mengikut sejarah, ramai orang yang berkenan dan masuk Islam kerana melihat dari sudut akhlak dan muamalat yang baik pada orang Islam. Itu juga kita perlu ambil perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Terbuka NGO Islam Terengganu di Hotel Grand Puteri, di sini hari ini.

Nik Omar (depan, empat kiri) bersama sebahagian daripada wakil NGO Islam Terengganu.
Nik Omar (depan, empat kiri) bersama sebahagian daripada wakil NGO Islam Terengganu.

Jelas Nik Omar, Yadim sendiri ada kluster atau unit yang bertanggungjawab terhadap kehidupan dan masa depan orang asli, khususnya dari sudut penyebaran ilmu dan memberikan kefahaman yang jelas tentang Islam.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin bersama sebagai rakan strategik untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, sama ada orang asli, Cina, India atau kepada etnik lain sekali pun. Selain tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim, ia juga termaktub dalam perlembagaan, sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi dan persekutuan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pembuangan bayi yang dilihat berleluasa, beliau berkata, semua pihak mesti bekerjasama dan tidak perlu menuding jari antara satu sama lain.

Katanya, isu pembuangan bayi adalah masalah gejala sosial yang serius dan memerlukan kerjasama semua pihak memandangkan ia membabitkan masa depan umat Islam.

"Yadim sendiri akan gerakkan Majlis Perunding Wanita Rahmah (Mawar), yang mana dalamnya dianggotai kepakaran pelbagai bidang dalam kalangan kaum wanita. Merekalah antara yang kita harap dapat menangani isu ini.

“Mereka merupakan pakar dalam pelbagai bidang, antaranya dalam bidang kedoktoran, pendidikan, perundangan, motivasi, kanak-kanak dan ekonomi. Dalam masa terdekat, mereka akan terjun ke medan untuk sama-sama membantu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!