Khaled tempelak kenyataan Mujahid
JOHOR BAHRU - Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkaitan isu hak asasi masyarakat minoriti di Xinjiang, China baru-baru ini menggambarkan betapa kebelakangnya pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata, penggunaan terma pusat latihan adalah persetujuan kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.
“Begitu juga apabila beliau menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai berita palsu dari China apabila berucap di Beijing Foreign Studies University.
“Tiada pusat latihan di Xinjiang. Yang ada adalah 'concentration camp' yang mempunyai hanya satu tujuan iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoriti seperti Uighur, Kazakh, Tajik dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohamed Khaled berkata, pada Februari lalu, beliau telah dijemput untuk menghadiri ‘Thematic Briefing on China’s Ethnic Minority and the Promotion of Unity and Solidarity Among Ethnic Groups in Xinjiang’ anjuran Biro Antarabangsa, Parti Komunis China (CPC).
Katanya, hampir 200 perwakilan daripada pelbagai parti politik dari seluruh dunia dijemput malah diberikan penerangan, dibawa melawat dan bertemu serta mendengar pelbagai penjelasan.
“Ia termasuk pertemuan dua hala dengan Vice Minister for International Cooperation dan pegawai tinggi dari Biro Antarabangsa CPC namun kami tidak dibawa melawat ke kem di mana hampir sejuta orang Islam ditahan.
“Kami telah menyatakan dengan jelas dalam pertemuan kami dengan perwakilan dari China kebimbangan dan kegusaran kami terhadap dasar memerangi ekstremisme China di Xinjiang. Ia tidak boleh dilaksanakan dengan menafikan hak asasi dalam mengamalkan agama, cara hidup dan budaya,” katanya.
Beliau berkata, perwakilan juga menyatakan program lawatan dianjurkan tanpa dibawa melihat keadaan kem tahanan sebenar telah meyakinkan bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan.
“Akhirnya kami berpandangan bahawa apa yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan China ialah usaha sistematik untuk menghapuskan identiti, kepercayaan dan cara hidup masyarakat minoriti di Xinjiang. Ia juga dilaksanakan atas nama memerangi keganasan dan memupuk solidariti dan perpaduan.
“Mujahid seharusnya menyampaikan rasa prihatin, kesal dan protes yang sangat mendalam dalam diri umat Islam Malaysia dan dunia terhadap apa yang berlaku di Xinjiang.
"Tetapi apa yang berlaku ialah beliau memberikan persetujuan terhadap dasar penindasan yang sistematik terhadap golongan minoriti khususnya Uighur di Xinjiang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!